CelcomDigi, KTPC meterai perjanjian 15 tahun perkukuh industri di Kulim Hi-Tech Park

(Dari kiri) Ketua Pegawai Operasi KTPC,Aida Zainol Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTPC, Datuk Mohd Sahil Zabidi dan Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan CelcomDigi, T Kugan.
(Dari kiri) Ketua Pegawai Operasi KTPC,Aida Zainol Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTPC, Datuk Mohd Sahil Zabidi dan Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan CelcomDigi, T Kugan.
A
A
A

CELCOMDIGI Berhad (CelcomDigi) dan Kulim Technology Park Corporation Sdn. Bhd. (KTPC) memeterai perjanjian strategik selama 15 tahun bagi menyediakan kemudahan ketersambungan gentian optik di Zon Perindustrian Fasa 4A (IZP 4A), Kulim Hi-Tech Park (KHTP).

Kerjasama itu membolehkan CelcomDigi menyediakan infrastruktur gentian optik serta kepakaran dalam penyelesaian ketersambungan perusahaan bagi menyokong operasi dan usaha pendigitalan di zon perindustrian baharu berkenaan.

Inisiatif itu turut menyokong aspirasi pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang meliputi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan CelcomDigi, T Kugan berkata, ketersambungan digital merupakan pemangkin penting kepada kemajuan ekonomi negara, selain membantu perniagaan meningkatkan daya saing dan membolehkan industri terus berkembang.

Menurutnya, peranan CelcomDigi bukan sekadar menyediakan kemudahan ketersambungan malah turut membangunkan asas digital yang diperlukan oleh perniagaan dan industri untuk terus maju.

“Perkongsian dengan KTPC ini mencerminkan komitmen tersebut, dengan menyediakan infrastruktur gentian optik dan keupayaan perusahaan kami ke KHTP Fasa 4A bagi menyokong aspirasi perindustrian Kedah serta pembangunan berterusan Koridor Utara.

“Pada akhirnya, kami mahu membantu mewujudkan persekitaran yang membolehkan perniagaan berkembang maju, pelaburan terus meningkat dan manfaat pendigitalan dapat menyumbang kepada kemajuan Malaysia serta kesejahteraan rakyatnya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menerusi perjanjian itu, CelcomDigi akan menguruskan infrastruktur saluran gentian optik di IZP 4A, selain menawarkan pelbagai penyelesaian perusahaan kepada penyewa baharu.

Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk Dedicated Internet Access (DIA), Private Leased Lines (PLL), IPVPN, Managed Dense Wavelength Division Multiplexing (DWDM) dan perkhidmatan Managed Fibre.

Artikel Berkaitan:

Seiring pembangunan IZP 4A, kerjasama berkenaan turut memenuhi keperluan penyewa menerusi penyelesaian ketersambungan yang disesuaikan dengan keperluan operasi mereka yang sentiasa berkembang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTPC, Datuk Mohd Sahil Zabidi berkata, pembangunan berterusan KHTP bukan sekadar memperluas kapasiti perindustrian malah turut mewujudkan persekitaran kondusif untuk perniagaan berkembang, pelaburan terus meningkat dan peluang ekonomi dinikmati masyarakat lebih luas.

“Perkongsian kami dengan CelcomDigi akan membantu memastikan IZP 4A dilengkapi dengan infrastruktur gentian optik yang diperlukan oleh pengeluar baharu bagi menyokong keperluan operasi mereka serta pembangunan jangka panjang taman perindustrian ini.

“Kami berharap kemajuan ini dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Kedah, mewujudkan lebih banyak peluang untuk bakat dan perniagaan tempatan, serta mengukuhkan sumbangan Koridor Utara terhadap masa depan perindustrian Malaysia,” katanya.

Sejak ditubuhkan pada 1996, KHTP telah berkembang menjadi antara hab perindustrian utama di Kedah dengan menarik pelaburan serta menyediakan peluang pekerjaan menerusi kehadiran pelbagai aktiviti pembuatan berteknologi tinggi.

Menurut KTPC, taman perindustrian itu merekodkan pelaburan terkumpul berjumlah RM189.4 bilion dan menyediakan 48,813 peluang pekerjaan setakat suku kedua 2026.

Dengan pengembangan KHTP yang berterusan, keperluan terhadap ketersambungan berkapasiti tinggi dan boleh dipercayai semakin penting bagi menyokong operasi pengeluar dalam persekitaran perindustrian yang semakin berteraskan teknologi digital.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!