Dharmaraj antara empat calon disenarai pendek kemudi Speedy Tigers

Gambar dari kiri: Arul Selvaraj, Dharmaraj, Sarjit Singh
Gambar dari kiri: Arul Selvaraj, Dharmaraj, Sarjit Singh
A
A
A

BEKAS jurulatih skuad kebangsaan, Muhammad Dharmaraj Abdullah adalah antara empat calon disenarai pendek Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) bagi mengisi jawatan ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan baharu yang akan diumumkan selewat-lewatnya akhir bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan KHM, Datuk Majid Manjit Abdullah berkata, empat daripada 23 calon disenarai pendek itu akan melalui proses sesi temu duga oleh jawatankuasa badan induk sukan berkenaan minggu ini.

MHC mencari ketua jurulatih baharu untuk pasukan lelaki selepas kontrak, A Arul Selvaraj tamat berikutan kemelut kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Selain Dharmaraj, calon tempatan lain ialah Sarjit Singh dan dua calon jurulatih luar negara iaitu, Brendan Caralon dari Afrika Selatan dan Glenn Turner dari Australia.

"Dua calon dari luar negara itu pernah menjadi pembantu kepada Arul sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini.

Katanya, jawatankuasa itu akan mengesyorkan pemilihan jurulatih kepada MHC untuk membuat keputusan akhir.

"Jurulatih baharu berkenaan akan ditawarkan kontrak dua tahun selain kontrak lanjutan (dua tahun) dengan objektif utama skuad kebangsaan layak ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat, katanya.

Dharmaraj, 54, ketika ini menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Hoki Indonesia dan pernah menjadi ketua jurulatih skuad lelaki negara pada awal 2014 sebelum direhatkan selepas berakhir saingan Sukan Komanwel Glasgow 2014.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ke Indonesia, beliau mengemudi Malaysian Tigress melakar sejarah muncul naib juara Pusingan Kedua Liga Hoki Wanita Dunia 2017 selain memastikan skuad remaja lelaki meraih tempat keempat Piala Dunia Remaja 2013.

Dharmaraj mula bersama pasukan hoki Wilayah Jawa Barat pada 2020 sebelum dilamar pasukan kebangsaan Indonesia pada Mac 2021. - Bernama