Speedy Tigers tekad bangkit tebus kecewa

Kegagalan skuad hoki lelaki negara meraih pingat emas pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di China baru-baru ini menyaksikan pasukan itu digugurkan daripada program RTG.
Kegagalan skuad hoki lelaki negara meraih pingat emas pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di China baru-baru ini menyaksikan pasukan itu digugurkan daripada program RTG.
A
A
A

SKUAD hoki lelaki negara terpaksa menelan keperitan apabila digugurkan daripada program Road to Gold (RTG) susulan kegagalan meraih pingat emas pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di China baru-baru ini.

Pengurus The Speedy Tigers, Datuk Mirnawan Nawawi berkata, beliau akur dengan keputusan Jawatankuasa RTG menggugurkan skuad kendalian Arul Selvaraj itu daripada program berkenaan.

Bagaimanapun, Mirnawan memberitahu, anak-anak buahnya akan kembali bangkit pada kempen Kelayakan Olimpik Paris 2024 di Muscat, Oman dan Valencia, Sepanyol bermula 13 hingga 21 Januari 2024.

“Sebelum ini pasukan hoki menepati kriteria berada dalam program RTG selepas menduduki ranking kesembilan dunia, namun jatuh ke ranking ke-12 selepas gagal menyerlah pada Sukan Asia Hangzhou 2022.

“Jadi saya harap para pemain bermotivasi tinggi dan berikan yang terbaik supaya kita layak ke Sukan Olimpik. Ranking kita mungkin ketika itu akan lebih baik dan berada dalam kedudukan 10 terbaik dunia.

“Saya pasti Jawatankuasa RTG akan mengambil kira semula kedudukan pasukan hoki untuk berada dalam RTG,” katanya dalam sidang akhbar di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada Selasa.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan skuad Speedy Tigers selain dua wakil beregu badminton campuran negara digugurkan daripada program RTG.

Prestasi tidak menentu gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini menyebabkan mereka digugurkan.

Artikel Berkaitan:

“Pasukan hoki lelaki disingkirkan daripada program itu (RTG) selepas mereka gagal memenangi pingat emas Sukan Asia 2022 di Hangzhou yang merupakan tiket (automatik) ke Sukan Olimpik Paris 2024,” ujar Hannah.

Koordinator RTG, Datuk Stuart Ramalingam pula berkata, keputusan menggugurkan skuad hoki dan dua wakil beregu campuran itu diharap mampu membangkitkan semula semangat mereka memburu slot RTG.

“Saya harap mereka yang tersingkir ini akan lebih bermotivasi. Syarat utama dalam RTG adalah ranking 10 terbaik dunia, sedangkan Kian Men-Pei Jing kini di tangga ke-22 dunia, manakala Soon Huat-Shevon, 14 dunia.

“Skuad hoki pula selepas tamat Sukan Asia, mereka di ranking ke-12, kita lihat balik presetasi mereka sehingga pusingan kelayakan Olimpik di Oman dan Sepanyol Januari depan,” jelas Stuart.