Speedy Tigers digugurkan dalam program RTG

Skuad hoki negara gagal mencapai sasaran meraih pingat emas pada Sukan Asia Hangzhou 2022 baru-baru ini.
Skuad hoki negara gagal mencapai sasaran meraih pingat emas pada Sukan Asia Hangzhou 2022 baru-baru ini.
A
A
A

SKUAD hoki lelaki negara disingkirkan daripada program Road to Gold (RTG) susulan kegagalan meraih pingat emas pada temasya Sukan Asia Hangzhou di China baru-baru ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam sidang akhbar selepas Jawatankuasa RTG selesai bermesyuarat di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa.

“Pasukan hoki lelaki negara akan disingkirkan daripada program itu (RTG) selepas mereka gagal memenangi pingat emas Sukan Asia 2022 di Hangzhou yang merupakan tiket (automatik) ke Sukan Olimpik Paris 2024,” katanya.

Bagaimanapun, 'pintu' buat skuad The Speedy Tigers kendalian Arul Selvaraj itu kembali berada dalam program berkenaan masih belum tertutup mereka.

Syaratnya, mereka wajib menyambar tiket Olimpik Paris 2024 pada kempen Kelayakan Olimpik yang akan berlangsung di dua venue - Muscat, Oman dan Valencia, Sepanyol bermula 13 hingga 21 Januari 2024.

Dalam pada itu, dua beregu badminton campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai turut mengalami nasib sama.

Seperti dijangka, prestasi tidak menentu kedua-dua beregu campuran itu dalam tempoh tiga bulan terakhir ini menyebabkan mereka digugurkan daripada program RTG.

“Prestasi Kian Meng-Pei Jing sejak kelayakan Olimpik bermula Mei lalu menyaksikan mereka jatuh posisi ke-23, mankala Soon Huat-Shevon pula jatuh kepada posisi ke-17 dalam ranking kelayakan Olimpik.

Artikel Berkaitan:

“Jika mereka dalam kelompok lapan teratas atau layak sebagai beregu Malaysia dengan kedudukan tertinggi dalam 16 teratas ranking Race To Paris, jawatankuasa akan menyemak keputusan ini,” jelas Hannah.