Taktik ikrar daging babi, peralatan elektrik sebagai perabot terbongkar

Norlela (tengah) menunjukkan gambar daging babi yang dirampas menerusi siri serbuan dan operasi dijalankan sebelum ini.
Norlela (tengah) menunjukkan gambar daging babi yang dirampas menerusi siri serbuan dan operasi dijalankan sebelum ini.
A
A
A

KLANG - Taktik kegiatan penyeludupan mengikrar daging babi, televisyen dan kipas siling sebagai peralatan perabot terbongkar apabila barangan bernilai RM3.8 juta dirampas dalam beberapa siri serbuan dijalankan pada 1 sehingga 13 Februari lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Norlela Ismail berkata, serbuan dijalankan melibatkan enam kontena di Pelabuhan Utara, Klang di sini.

Beliau berkata, sebanyak 96,000 kilogram (kg) daging babi sejuk beku yang tidak memiliki permit import dari Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dirampas menerusi pemeriksaan melibatkan empat kontena.

Televisyen antara barangan yang diikrar sebagai peralatan perabot terbongkar menerusi serbuan dan operasi dijalankan sebelum ini.
Televisyen antara barangan yang diikrar sebagai peralatan perabot terbongkar menerusi serbuan dan operasi dijalankan sebelum ini.

"Siasatan mendapati sindiket menggunakan taktik mengikrar sebagai aksesori perabot di dalam borang manifes bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Kesemua daging babi ini dirampas dalam empat buah kontena bersaiz 12.1 meter persegi dan dipercayai dari Brazil sebelum transit di Hong Kong serta dibawa ke negara ini untuk dibungkus dan dijual bagi pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Tengah di Pelabuhan Klang di sini pada Selasa.

Dalam sidang akhbar sama, Norlela berkata, sebanyak 664 unit televisyen dan 1,900 unit kipas siling dirampas menerusi beberapa siri operasi sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, siasatan dijalankan mendapati kesemua peralatan elektrik itu tidak mempunyai permit Suruhanjaya Tenaga (ST) dan kelulusan SIRIM Berhad (SIRIM).

"Kesemua televisyen itu diisytiharkan sebagai mozek lantai sebelum berjaya dikesan menerusi pengimbasan imej yang dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang larangan dengan sesuatu larangan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28