X

Kindly register in order to view this article
!

Influenza: Dua kelas di sekolah Pulau Pinang ditutup

Wakil Ahli Parlimen Bagan menyerahkan topeng muka kepada salah seorang guru SJKC Li Hwa pagi tadi.
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] Dua buah kelas Tahun 2 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Li Hwa, Butterworth ditutup selama 11 hari bermula hari ini selepas 19 muridnya dijangkiti influenza.

Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, pegawai kesihatan daerah Seberang Perai Utara (SPU) telah berbincang dengan pihak sekolah dan mencadangkan agar dua kelas berkenaan ditutup susulan jangkitan tersebut.

Menurutnya, bagaimanapun, ia terpulang kepada pengurusan sekolah berkenaan sama ada menerima cadangan tersebut atau sebaliknya.

Tambahnya, Pejabat Kesihatan Daerah SPU menerima tujuh notifikasi kes aduan influenza di SJKC Li Hwa pada jam 10 pagi semalam.

"Ujian saringan dijalankan di dua buah kelas iaitu 23 daripada 36 pelajar dari Kelas 2 Damai dan 33 daripada 36 pelajar dari Kelas 2 Taat. Bagi Kelas 2 Damai, 23 pelajar yang menjalani ujian saringan tidak menunjukkan simptom jangkitan manakala 13 pelajar yang tidak hadir.

"Mereka adalah lima pelajar dijangkiti Influenza A, tiga pelajar mempunyai simptom demam, batuk dan selesema yang mana, waris mereka telah membawa ke hospital untuk menerima rawatan. Tiga pelajar lagi dikuarantin oleh waris kerana bimbang dijangkiti manakala dua lagi tidak dapat dihubungi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Abdul Rashid berkata, bagi Kelas 2 Taat pula, kesemua 33 pelajar yang menjalani ujian saringan tidak menunjukkan simptom jangkitan.

"Bagi kelas ini, hanya tiga pelajar tidak hadir iaitu dia dijangkiti influenza A manakala seorang lagi tidak dapat dihubungi. Sekolah tersebut mempunyai 1,600 pelajar keseluruhannya.

"Penutupan kedua-dua kelas tersebut sehingga 18 Januari ini namun disebabkan 19 Januari adalah hari Ahad, maka pembukaan semula dua kelas tersebut adalah pada Isnin, 20 Januari. Jangka masa yang diberikan adalah berdasarkan 'incubation period of infection'. Selepas tempoh tersebut, kelas ini boleh dipertimbangkan sebagai bebas dari kuman influenza," katanya.

Tambahnya, antara langkah pencegahan yang dijalankan di sekolah tersebut adalah penggunaan pencuci tangan (hand sanitizer) di kalangan semua guru dan pelajar dan memakai topeng muka bagi mereka yang mempunyai simptom batuk serta selesema.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Dr Afif Bahardin berkata, setakat ini, hanya dua kelas di sekolah tersebut ditutup kerana jangkitan influenza.

Menurutnya, jangkitan tersebut masih terkawal di negeri ini.

"Setakat ini, penularan jangkitan ini masih terkawal dan dari segi bekalan ubat pun mencukupi. Influenza ini memang sudah ada dalam komuniti cuma sekarang ini makin ramai yang dijangkiti.

"Nasihat saya kepada ibu bapa agar segera bawa anak mereka untuk mendapatkan rawatan sekiranya ada simptom-simptom. Yang masih terhindar, saya nasihatkan supaya mendapatkan vaksin selain menitik beratkan soal kebersihan," katanya.