Along bakar kereta jiran tuntut bayar hutang

A
A
A

JOHOR BAHRU - Gara-gara anak jiran berhutang dengan along, kereta milik seorang tukang perabot dibaling bom petrol sebelum terbakar dalam kejadian di Taman Desa Cemerlang di sini pada awal bulan ini.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Seng, 58, berkata, kejadian itu membuatkannya terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi kuat depan rumahsebelum melihat kereta Nissan Almera miliknya terbakar pada jam 4.10 pagi, 2 Februari lalu.

"Saya bertindak memadam kebakaran dan kemudian mendapati kereta mengalami kerosakan pada bahagian bumper dan hangus di seluruh bahagian belakang kereta hingga ke bumbung.

"Saya ternampak sekeping surat tuntutan hutang dan tertera alamat jiran. Saya menghubungi nombor telefon yang ditinggalkan dan along terbabit menyatakan akan kembali membuat ancaman.

"Saya bersyukur kerana ahli keluarga terselamat dalam kejadian ini. Sejak kejadian ini keluarga kami tidak mampu tidur lena dan ketakutan setiap masa," katanya ketika dihubungi.

Jiran kepada Seng yang hanya mahu dikenali sebagai Lau, 62, kemudian membuat aduan permasalahan itu kepada Pembantu Khas Ahli Parlimen Tebrau, Jalex Lee di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tebrau, Taman Gaya di sini pada Isnin.

Lau merupakan bapa kepada Liang iaitu individu yang berhutang dengan along terbabit yang menjadikan kereta Seng sebagai sasaran.

Sebelum itu, Seng dan Lau sudah membuat laporan di Balai Polis Taman Desa Cemerlang pada hari kejadian.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Lau yang bekerja sebagai juru kimpal mengakui merasa malu, serba salah dan tertekan dengan perbuatan anak sulungnya itu yang telah menimbulkan masalah bukan sahaja kepada keluarganya tetapi juga jiran.

"Kejadian tersebut dimaklumkan jiran saya kereta mereka terbakar dipercayai akibat dibaling bom petrol dan satu nota ditinggalkan. Kejadian ini ada kaitan dengan anak lelaki saya, Liang yang kini berada di Singapura kerana berhutang dengan ceti haram," katanya.

Katanya, along terbabit memberitahu sengaja bakar kereta jiran kerana mahu menimbulkan tekanan kepada mereka sekeluarga supaya menjelaskan hutang.

"Kami juga terkejut kerana along terbabit tiba-tiba menuntut SG$7,800 (RM27,739) daripada keluarga saya," katanya dalam sidang akhbar selepas membuat aduan masalah berkenaan.

Lau berkata, kejadian berkenaan secara tidak langsung mengganggu ketenteraman jiran-jiran yang bimbang dengan keselamatan masing-masing.

"Saya kesal dengan kejadian yang berlaku, kami sudah lama tidak bertemu Liang sejak 10 tahun lalu kerana perselisihan faham selepas tidak berpuas hati dengan sikapnya yang suka berhutang," katanya.

Apa yang berlaku kata Lau, adalah di luar kawalan keluarganya dan mereka sama sekali tidak melindungi Liang.

Dia berharap anak lelakinya itu tampil untuk menyelesaikan masalah tersebut bagi memastikannya tidak berlarutan dan mengelak daripada ugutan baharu atau perkara yang lebih buruk berlaku.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitenden Sohaimi Ishak mengesahkan menerima laporan polis berkaitan kejadian itu dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!