Transisi perubahan kepimpinan Indonesia dijangka berjalan lancar

Budi Arie Setiadi
Budi Arie Setiadi
A
A
A

JAKARTA - Proses transisi kepimpinan daripada Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi kepada pemimpin baharu yang dipilih dijangka berjalan lancar.

Menteri Komunikasi dan Informatika, Budi Arie Setiadi berkata, pengumuman rasmi keputusan Pemilihan Umum (Pemilu) dan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) Indonesia 2024 akan diumumkan oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU) pada Mac depan.

Presiden dan Naib Presiden yang baru dipilih pula kemudiannya akan mengangkat sumpah pada 20 Oktober bersama ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).

"Saya yakin transisi kepimpinan akan berjalan dengan lancar dan aman. Prabowo (Subianto) dan Gibran (Rakabuming Raka) yang mendahului dalam proses kiraan, daripada pemerintahan sekarang.

Budi (kanan) menyerahkan cenderamata kepada Setiausaha Agung Iswani Malaysia, Mohd Shukri Ishak.
Budi (kanan) menyerahkan cenderamata kepada Setiausaha Agung Iswani Malaysia, Mohd Shukri Ishak.

"Prabowo sendiri adalah Menteri Pertahanan. KPU akan umumkan keputusan rasmi pada 20 Mac dan Mei pula akan ditetapkan siapa yang menang Pilpres dan parti memerintah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan 15 wartawan daripada pelbagai agensi berita Malaysia sempena Program Jejak Serumpun anjuran Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) Malaysia di Jakarta bermula 12 hingga 21 Februari ini.

Selain membuat kunjungan hormat di beberapa pertubuhan media, wartawan yang terlibat juga membuat liputan Pilpres Indonesia 2024 dan menyertai Hari Pers Nasional (HPN) Indonesia 2024, yang akan berlangsung pada 20 Februari ini.

Artikel Berkaitan:

Budi menerima kunjungan media Malaysia.
Budi menerima kunjungan media Malaysia.

Sementara itu, mengulas mengenai laporan kecurangan (penipuan) sewaktu proses pengundian pada 14 Februari lalu, beliau menegaskan pemilihan kali ini demoktarik, jujur dan adil.

"Pemilu kali ini luar biasa dan terbesar di Indonesia. Saya tidak mahu tenaga dan kerja keras semua pihak tercalar kerana tuduhan kecurangan.

"Saya yakin pemilihan kali ini betul-betul demokratik, jujur dan adil walaupun mungkin ada beberapa aduan.

"Semua orang boleh merakam proses pengundian. Kalian mahu curang di mana? Semua boleh lihat suasana di TPS (Tempat Pemungutan Suara)," jelasnya.

Bagaimanapun, Budi memberitahu bahawa orang ramai boleh melaporkan aduan tentang penipuan semasa pilihan raya kepada Mahkamah Konstitusi jika mempunyai bukti.