Pilpres 2024: Prabowo selesa dahului dua pencabarnya

Prabowo (kiri) dan Gibran bertemu penyokong mereka di Jakarta, Indonesia lewat petang tadi. - AFP
Prabowo (kiri) dan Gibran bertemu penyokong mereka di Jakarta, Indonesia lewat petang tadi. - AFP
A
A
A

JAKARTA - Keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Presiden (Pilpres) Indonesia hari ini memperlihatkan Prabowo Subianto berada di kedudukan selesa untuk dinobatkan selaku pemenang dalam satu pusingan.

Setakat ini, Prabowo yang juga Menteri Pertahanan memperoleh kira-kira 58 peratus undi berdasarkan kiraan pantas empat badan peninjau bebas.

Pencabar Prabowo, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo pula masing-masing memungut kira-kira 25 peratus dan 17 peratus.

Kiraan awal oleh suruhanjaya pilihan raya jauh lebih perlahan dan menunjukkan Prabowo memperoleh 57.7 peratus undi dengan kira-kira enam peratus undi direkodkan.

Prabowo mendapat sokongan secara tidak langsung daripada Presiden Joko Widodo atau Jokowi yang mempertaruhkan bekas pesaingnya itu sebagai calon pilihan bagi mengekalkan legasinya.

Sebelum ini, Jokowi turut didakwa memainkan peranan untuk anaknya, Gibran Rakabuming Raka sebagai pasangan kepada veteran politik yang juga bekas komander pasukan khas itu.

Dalam pada itu, Anies dan Ganjar menggesa orang ramai supaya tidak membuat kesimpulan mengenai keputusan itu dan menunggu keputusan rasmi, yang dijangka selewat-lewatnya 20 Mac depan.

Pasukan kempen Ganjar dan Anies berkata, mereka sedang menyiasat laporan pelanggaran akta pilihan raya dengan kedua-duanya menyifatkan ia sebagai penipuan struktur, sistematik dan besar-besaran.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, mereka tidak memberikan bukti atas dakwaan tersebut.

Untuk menang dalam satu pusingan, calon memerlukan lebih 50 peratus undi dan sekurang-kurangnya 20 peratus undi di separuh wilayah.

Jika tiada calon yang memenangi majoriti, perebutan jawatan antara dua pemenang teratas akan diadakan pada Jun depan. - Agensi