Pantau adegan ‘panas’ dalam drama tempatan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

DI sebalik kepesatan teknologi yang menjadikan internet khususnya penggunaan media sosial sebagai pilihan utama masyarakat hari ini khususnya golongan muda, namun televisyen masih lagi kekal menjadi pilihan sebagai medium tontonan pelbagai program terutamanya drama tempatan.

Perkara itu dibuktikan dengan rating tinggi dicatatkan stesen-stesen televisyen tempatan terutamanya melibatkan drama rantaian yang disiarkan pada waktu paling ramai penonton atau waktu perdana.

Namun, apa yang menjadi kebimbangan ketika ini ialah terdapat drama ditayangkan mempamerkan adegan ‘panas’ atau berunsur keterlaluan serta tidak selari dengan budaya dan adab masyarakat di Malaysia yang majoritinya beragama Islam.

Sebagai contoh, sebelum ini kita digemparkan dengan keberanian seorang pelakon terkenal, Zul Ariffin berkongsi teaser atau iklan acah drama terbaharunya yang disifatkan tidak senonoh.

Susulan perkongsian itu, pelakon berbakat berkenaan dikecam teruk kerana aksinya bersama seorang wanita yang turut membintangi drama tersebut memaparkan babak yang tidak sepatutnya, apatah lagi ia bakal ditayangkan melalui stesen televisyen tempatan.

Aksi yang tidak sepatutnya dibimbangi mempengaruhi penonton bawah umur terutamanya kanak-kanak kerana tayangan drama tersebut dibuat pada waktu perdana atau dalam bahasa mudahnya kebanyakan ahli keluarga berkumpul bersama-sama pada masa itu.

Menyedari kecaman ramai itu, stesen televisyen swasta yang dipercayai terlibat dalam tayangan drama tersebut tampil memberi reaksi segera berhubung perkara berkenaan.

Menurut stesen televisyen itu, adegan panas drama tersebut tidak sesuai dijadikan bahan tontonan umum mahupun untuk promosi, selain mengambil berat apa yang disuarakan orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Ulas stesen televisyen swasta itu lagi, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana pengisian drama-drama tempatan perlu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Selain kontroversi membabitkan Zul Ariffin itu, sebenarnya terdapat banyak lagi drama yang ditayangkan tidak disenangi kerana mempunyai unsur-unsur keterlaluan dan tidak sihat, namun ia tidak terlalu diberi perhatian.

Inilah yang menjadi masalah sebenarnya.

Jika sesuatu isu dibangkitkan tidak mendapat liputan meluas, maka tindakan diambil juga hanya sekadar berpada-pada sedangkan ia perlu ditangani dengan lebih awal.

Justeru, sudah tiba masanya untuk kerajaan khususnya kementerian bertanggungjawab membuat garis panduan lebih jelas mengenai sebarang babak yang tidak dibenarkan sama sekali dilakonkan dalam drama atau filem untuk tontonan umum.

Pemantauan secara serius oleh agensi berkaitan menjadi asas terpenting bagi mengelak sebarang babak panas dalam drama terlepas hingga dipertontonkan kerana kesan yang bakal diterima jauh lebih besar.

Perkara ini mengambil kira kuasa tular yang begitu pantas tersebar.

Jadi adalah lebih baik mencegah daripada mengubati demi kesejahteraan bersama.

Ini kerana semua pihak perlu kembali kepada tujuan asal sesebuah drama atau filem yang dibuat iaitu untuk memberi pengajaran tetapi jika babak yang tidak sepatutnya itu dipertontonkan dibimbangi ia memberi kesan negatif.

Bahaya unsur keterlaluan yang dipaparkan dalam drama atau filem ini perlu dilihat secara lebih serius bukan sahaja untuk memberi pengajaran tetapi lebih penting bagaimana ia berupaya mencorak minda dan membentuk peribadi seseorang.

Sedar atau tidak jika unsur sedemikian terus dijadikan sebagai ‘pelaris’ dalam sesebuah drama, ia secara tidak langsung membuktikan kita menormalisasikan perkara yang bertentangan dengan akidah dan syariat Islam itu sendiri.

Meskipun pada asasnya drama yang ditayangkan sekadar untuk hiburan santai, namun jika unsur-unsur tidak sihat yang dipaparkan di dalam drama ia dibimbangi boleh merosakkan minda masyarakat.

Berhibur termasuk menonton drama yang disukai mengikut garis ditetapkan agama itu tidak salah tetapi perlu ada batasnya.

* Nurul Huda Husain ialah wartawan Sinar Harian

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28