Negeri Sembilan setuju terima geran RM500,000 daripada KBS

Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi
Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi
A
A
A

SEREMBAN - Negeri Sembilan bersetuju menerima geran berjumlah RM500,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menaik taraf sistem perparitan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan, Mustapha Nagoor berkata, dana itu dapat membantu kerajaan negeri meningkatkan kualiti sukan bola sepak serta memastikan pasukan bola sepak negeri terus kompetitif di Liga Malaysia.

"Kita bersetuju dengan tawaran itu dan surat juga dihantar kepada KBS. Kontraktor telah dikenal pasti bagi kerja menaik taraf tersebut.

"Kontraktor itu bagus dan berpengalaman, pernah melakukan kerja-kerja naik taraf di Selangor dan Bukit Jalil, Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penutup Kejohanan Sukan Negeri Sembilan (SUKNES) di sini hari ini.

Beliau berkata, difahamkan dana tersebut akan disalurkan sekitar tempoh dua bulan ini.

Berkenaan pertukaran rumput, Mustapha berkata pihaknya meminta pakar daripada KBS untuk memberikan pandangan serta cadangan berkenaan rumput yang sesuai digunakan atau mengekalkan penggunaan rumput yang sama iaitu ‘cow grass’ di stadium tersebut.

"Kami belum putuskan mengenai pertukaran rumput kerana ia bergantung dengan suasana stadium, perlu mengambil kira aspek pencahayaan dan pengudaraan di stadium itu sendiri,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan pemberian geran sebanyak RM500,000 kepada setiap negeri termasuk Wilayah Persekutuan akan membantu pasukan menyediakan venue yang lebih baik dan tidak mengganggu perjalanan liga disebabkan padang yang lecak dan ditakungi air.

Artikel Berkaitan:

Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut berbesar hati mengurniakan sumbangan berjumlah RM300,000 kepada setiap pasukan bagi menampung kos penyelenggaraannya.

Dalam perkembangan lain, Mustapha berkata kira-kira RM8 juta disediakan bagi persiapan kontinjen negeri itu menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak pada Ogos ini.

"Setakat ini persediaan pasukan lancar, antara prospek pingat adalah menerusi acara menembak, wushu, badminton serta acara lain yang diharap dapat memberikan saingan sengit di SUKMA,” katanya. - Bernama