Khazanah umum tiga syarikat terima geran sehingga RM500,000

Pemenang-pemenang mewakili syarikat masing-masing menerima geran sehingga RM500,000 sempena Hari Demo bagi Cabaran Impak Inovasi Khazanah (KICC).
Pemenang-pemenang mewakili syarikat masing-masing menerima geran sehingga RM500,000 sempena Hari Demo bagi Cabaran Impak Inovasi Khazanah (KICC).
A
A
A

TIGA syarikat teknologi diumumkan sebagai pemenang teratas yang menerima geran sehingga RM500,000 sempena Hari Demo bagi Cabaran Impak Inovasi Khazanah (KICC) 2023 anjuran Khazanah Nasional (Khazanah).

Syarikat tersebut ialah Braintree Technologies, Ultimate dan Kapitani yang dipilih panel hakim KICC 2023 dalam usaha menyampaikan penyelesaian inovatif berimpak semasa beroperasi dengan model perniagaan mampan demi keterjaminan makanan dalam negara.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, melalui program tersebut, diharapkan dapat menyalurkan sokongan dan modal yang diperlukan bagi pelaksanaan yang inovatif dan mampan untuk menangani isu berkenaan.

Dalam masa sama, katanya, dapat memacu daya tahan sosioekonomi dan potensi pertumbuhan untuk negara.

“Dedikasi dan kebijaksanaan syarikat ini bukan sahaja akan menambahbaik landskap agromakanan tetapi juga berpotensi menyokong keperluan pelbagai isi rumah.

“Ketika kita mendepani peningkatan kadar inflasi, ketidaktentuan global dan cabaran yang dibawa perubahan iklim, penyelesaian inovatif yang dipelopori hari ini akan menjadi sumber daya tahan bagi pengguna dan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Anugerah berkenaan disampaikan Amirul Feisal dan Ketua Dana Impak Khazanah dan Penjagaan Kesihatan, Bryan Lim.

Program tersebut dianjurkan Khazanah bersama rakan kongsi Plug and Play APAC (PNP); rakan jangkauan, Impact Circle serta program MYStartup Cardle Fund dan rakan kongsi pembiayaan Gobi Partners, 500 Global dengan Agrobank.

Artikel Berkaitan:

KICC 2023 dilancarkan pada 25 Julai lalu dengan membuka permohonan daripada perniagaan dalam negara yang membangunkan penyelesaian inovatif serta berdaya maju secara komersial untuk menangani cabaran perubahan iklim terhadap keterjaminan makanan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Braintree Technologies, Arif Makhdzir berkata, rancangannya adalah untuk mempercepatkan pelan pengkomersilan robot dan meningkatkan pengeluaran dengan geran RM500,000 tersebut.

“Perubahan iklim telah membawa ketidakpastian terhadap pengeluaran yang belum pernah berlaku sebelum ini kepada petani kerana mereka tidak lagi dapat bergantung kepada pola kitaran tanaman biasa,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Ultimeat, Edwin Lee pula berkata, dengan geran yang diterima, pihaknya merancang untuk memperkukuhkan usaha penglibatan komuniti bagi memastikan maklumat diterima secara menyeluruh tentang produknya.

“Berikutan cabaran perubahan iklim dan implikasinya terhadap keterjaminan makanan, kami menyediakan penyelesaian yang mampan dengan menghasilkan protein dalam tempoh tujuh hari sahaja serta mengurangkan kesan terhadap alam sekitar,” ujar beliau.

Sementara Pengasas bersama Kapitani, Mohd Nazrul Hazeri berkata, pihaknya akan menggunakan geran RM500,000 tersebut untuk mempercepatkan projek di dua negeri dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada orang ramai.

Dalam pada itu, tiga syarikat pemula menerima Anugerah Pemilihan Rakan Kongsi menerima geran RM10,000 tajaan program MYStartup Cradle.

Syarikat tersebut ialah Entomal, Hydroemission dan Kairos.