PPIM tubuh task force tangani kes kuil haram

Nadzim (kiri) pada sidang akhbar berhubung penubuhan task force kuil haram di pejabat PPIM pada Sabtu.
Nadzim (kiri) pada sidang akhbar berhubung penubuhan task force kuil haram di pejabat PPIM pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menubuhkan task force bagi memberi tumpuan kepada kes kuil haram selepas menerima banyak aduan berkaitan isu berkenaan.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, jawatankuasa itu akan berperanan mengurus kaedah bagi menangani pembinaan kuil yang tidak diluluskan.

Menurutnya, masyarakat perlu diberikan penerangan jelas supaya pembinaan rumah ibadat itu mengikut prosedur ditetapkan dan tidak dilakukan secara 'bypass' yang boleh menimbulkan masalah pada masa akan datang.

"PPIM bina task force ini kerana terima banyak aduan, tak mahu ada aduan baru mahu bertindak.

"Ada prosedur pembinaan kuil yang perlu dipatuhi jadi perlu kuat kuasa pematuhan tersebut dan

perlu ada pemantauan dilakukan," katanya pada sidang akhbar di pejabat PPIM pada Sabtu.

Beliau menjelaskan, terdapat kes kuil dibina atas tanah orang selain didirikan di lokasi tidak bersesuaian yang mengundang masalah kacau ganggu.

"Ada kes tanah persendirian hak milik orang dibina kuil dan ada juga di tengah jalan.

Artikel Berkaitan:

"Isu ini mungkin disebabkan kelalaian penguatkuasaan, menjadi punca lambakan pembinaan kuil haram, " katanya.

Ujarnya, isu tersebut perlu ditangani dengan betul dan dilakukan pemutihan bagi pengumpulan maklumat serta urus tadbir tersusun.

"Task force ini ke arah kumpul maklumat dan saluran rujukan terhadap aduan rakyat.

"Ada sesetengah kes, aduan dibuat tidak mendapat maklum balas daripada pihak berkuasa.

"Kita mahu tahu jumlah kuil di Kuala Lumpur, sukar untuk sahkan sebab tak ada data.

"Harap dengan adanya task force ni, isu ni dilihat secara jelas tanpa prejudis kerana tidak mahu ada masalah pada kemudian hari," katanya.