Bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur pulih sepenuhnya

Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Gangguan bekalan air di tujuh daerah susulan pencemaran bau Sungai Selangor sejak Selasa lalu telah pulih sepenuhnya.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, bekalan air pulih sepenuhnya pada jam 12 tengah malam, Khamis dengan Petaling lokasi terakhir menerima bekalan.

"Air Selangor ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini," menurut perkongsian di Facebook pada Khamis.

Pada Selasa Air Selangor memaklumkan loji rawatan air Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2, SSP3 dan Rantau Panjang dihenti tugas sementara susulan pencemaran bau dikesan di Sungai Selangor.

Daerah terjejas ialah Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Selangor dan Hulu Selangor, Petaling dan Klang.

Dalam perkembangan berasingan, Air Selangor memaklumkan status pemulihan bekalan air di kawasan terjejas susulan kerja penyelenggaraan dan penggantian aset LRA Sungai Langat telah mencapai 38.35 peratus setakat jam 9 pagi, Khamis.

"Tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

"Pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini daripada semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/.

Artikel Berkaitan:

"Para pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dari saluran komunikasi rasmi alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/," katanya.