MAIS junjung titah Sultan Selangor, sedia bantu jawatankuasa khas

Abdul Aziz. Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Abdul Aziz. Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk bersama-sama membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji lsu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, kerjasama itu meliputi saranan dan idea bagi memudahkan jawatankuasa khas menganalisa dan mencadangkan kaedah terbaik bagi memperluaskan kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah Syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

"MAIS menyeru umat Islam bertenang dan memberi peluang kepada jawatankuasa khas yang telah dilantik untuk membincangkan isu ini secara terperinci," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, Sultan Selangor semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal lslam yang ke 71 pada Khamis mengingatkan umat lslam agar menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, MAIS turut menzahirkan sokongan atas titah Sultan Sharafuddin yang mengingatkan Majlis Agama lslam Negeri-Negeri sebagai pemegang amanah tunggal wakaf bekerjasama dengan agensi kerajaan Persekutuan dan negeri untuk menjayakan usaha pembangunan wakaf di seluruh Malaysia.

"MAIS turut menyambut baik hasrat baginda untuk memperkukuhkan pendidikan agama lslam di negeri Selangor khasnya mengenai kepentingan penguasaan bahasa Arab dalam kalangan pelajar tahfiz untuk memahami makna sebenar ayat-ayat al-Quran," jelas beliau.

Bagi menyokong hasrat itu, katanya, MAIS telah menubuhkan Jawatankuasa Pendidikan lslam dan Tahfiz Negeri Selangor bagi memastikan pelaksanaannya berkesan.

Selain itu, tegas beliau, semua umat lslam di negeri Selangor diingatkan tidak menyalahgunakan agama demi kepentingan peribadi bagi mengekalkan keharmonian dan kemuafakatan dalam negara.

Artikel Berkaitan:

"MAIS juga menyeru para ilmuwan lslam untuk meraikan perbezaan pendapat serta menyelesaikan perbezaan pandangan tersebut secara ilmiah, berhemah serta memenuhi saluran yang betul.

"Perkara ini selaras dengan titah baginda agar umat lslam di negara ini terus memperkukuhkan komitmen terhadap perpaduan dan ukhuwah yang selama ini menjadi teras kepada kemakmuran negara," tambahnya.