Sultan Selangor, Tengku Permaisuri tiba di Kuching bagi lawatan rasmi

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini bagi lawatan rasmi selama empat hari. - Foto FB Jabatan Penerangan Sarawak
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini bagi lawatan rasmi selama empat hari. - Foto FB Jabatan Penerangan Sarawak
A
A
A

KUCHING - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini bagi lawatan rasmi selama empat hari ke bandar raya ini.

Keberangkatan tiba baginda berdua pada 4 petang tadi disambut Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan isteri, Puan Sri Juma'ani Tuanku Bujang serta Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan isteri, Datin Amar Enn Ong Siok Ean.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni dan Timbalan Setiausaha Persekutuan Sarawak, Banges Munga.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dijangka berangkat tiba esok bagi menyertai baginda berdua dalam lawatan ke Kuching, yang diadakan buat julung kalinya.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Noorashikin dijadual berangkat ke Pameran Sarawakiana 'Tradisi Kita Khazanah Kita' di Pustaka Negeri Sarawak, Muzium Budaya Sarawak (BCM) esok.

Selain itu, baginda berdua turut berkenan berangkat ke Majlis Penangguhan Sarawak Regatta Kuching: Waterfront Festival 2023 serta menikmati ‘night cruise’ di Tebingan Kuching.

Setelah itu, baginda berdua juga akan berangkat melawat Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak, Kubu Margherita, Juma'ani Pavilion sebelum ke Majlis Santapan Negeri, malam esok. - Bernama

Artikel Berkaitan: