Agenda jelajah WKB bulan depan: Zuraida

Zuraida bercakap pada sidang media di bilik media Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini hari ini. -Foto Sinar Harian SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
Zuraida bercakap pada sidang media di bilik media Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini hari ini. -Foto Sinar Harian SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PUTRAJAYA - Agenda jelajah penerangan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) akan tetap diteruskan bermula bulan Februari depan.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin berkata, beliau akan melaksanakan agenda itu bersama Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurutnya, satu mesyuarat diadakan bagi membincangkan perkara itu kelmarin dengan pelaksanaan agenda jelajah WKB sepatutnya dilaksanakan seawal bulan ini.

"Namun kita terpaksa menangguhkannya disebabkan terlalu dekat dengan tarikh perayaan Tahun Baru Cina.

"Agenda jelajah WKB akan dimulakan di Selangor pada minggu pertama bulan Februari sebelum diteruskan pula ke Sarawak sempena pilihan raya negeri itu," katanya pada sidang media di bilik media Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini.

Sebelum ini, agenda itu dilaungkan sewaktu penganjuran majlis makan Wawasan Kemakmuran Bersama yang dianjurkan di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur pada 8 Disember lalu.

Semasa majlis makan malam WKB di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur itu, Zuraida dan Azmin mengkritik kepimpinan PKR terutama Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kontroversi berlaku sepanjang penganjuran Kongres Nasional PKR yang diadakan 5 hingga 8 Disember lalu.

Dalam ucapannya, Zuraida turut menyatakan beliau rela dipecat parti demi mempertahankan idealisme perjuangan parti terbabit.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar perlu masa untuk bertenang, kata Zuraida

Selain itu, beliau menyatakan majlis makan malam itu adalah sebagai permulaan dan ia akan diteruskan pada siri jelajah penerangan WKB di seluruh negara dengan dipimpin Mohamed Azmin.

Ditanya sama ada agenda penerangan WKB akan terus menjadi platform mengkritik Anwar dan kepimpinan PKR sebagaimana sebelum ini, Zuraida bagaimanapun memberi jaminan ia sekadar platform untuk menerangkan inisiatif kerajaan kepada orang ramai.

"Kita kini mahu bergerak ke hadapan dalam usaha mengukuhkan kerajaan, bukan membicarakan perkara sebegini (kritikan Anwar) lagi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zuraida menyangkal sindiran Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempersoalkan tindakan kerajaan merasmikan bangunan Balai Bomba Kimanis di Sabah baru-baru ini meskipun ia sudah disiapkan sejak tahun 2018.

"Tindakan sebegitu adalah satu perkara biasa di mana terdapat bangunan masjid yang sudah dibina 10 tahun namun baru dirasmikan Yang di-Pertuan Agong.

"Najib yang sekadar buat tidak tahu. Padahal dia pun buat kerja itu," katanya.

Mengenai notis tuntutan saman dihantar oleh Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak kepadanya sebelum ini, Zuraida menegaskan pihaknya menyerahkan kepada peguam untuk menguruskan perkara itu.