Pembangunan semula Palestin, Mapim perlu 50 NGO seluruh dunia

Mohd Azmi (empat dari kanan) menunjukkan gambar mangsa kekejaman tentera Israel terhadap penduduk Palestin
Mohd Azmi (empat dari kanan) menunjukkan gambar mangsa kekejaman tentera Israel terhadap penduduk Palestin
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Rundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) kini dalam usaha bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekurang-kurang dari 50 negara bagi membina semula Palestin yang kini musnah sama sekali akibat serangan Israel.

Bagaimanapun Pengerusinya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sehingga kini mereka sudah berbincang dengan NGO dari 26 negara bagi tujuan itu.

Menurutnya, pembinaan semula Palestin memerlukan kira-kira AS$50 bilion dan pembersihan sisa runtuhan bangunan sahaja mengambil masa setahun.

"Walaupun mereka kini masih diserang dan perang belum berakhir namun kita mengambil langkah awal untuk membantu warga Palestin membangunkan semula negara itu yang musnah sama sekali.

"Antara perkara utama yang dibincangkan ialah kesihatan pendidikan, perumahan, infrastruktur awan dan keperluan asas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena pertemuan khas bersama NGO pada Khamis.

Mohd Azmi turut memaklumkan, pelarian Palestin juga dalam fasa keperluan yang mendesak akibat serangan kira-kira 150 hari itu.

Katanya lagi, lebih 28,000 kematian dicatatkan sehingga hari ini (15 Februari) akibat dibom, kebuluran, penyakit dan wanita bersalin.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini kita sudah menghantar keperluan termasuk makanan bernilai RM15 juta dan sebahagian daripadanya dimaklumkan sudah diterima," katanya.

Mohd Azmi turut menjelaskan situasi di Palestin sungguh menyayat hati apabila 500 buah sekolah hancur sama sekali, 8,000 mangsa mungkin meninggal dunia di bawah runtuhan bangunan, 12,000 kanak- kanak maut dan 26 hospital musnah.

Beliau juga memberitahu, satu perhimpunan akan diadakan di Kuala Lumpur bertujuan membuktikan solidariti kepada rakyat rakyat Palestin.

Menurut beliau, penganjuran Perhimpunan Sejuta Rakyat Untuk Palestin pada 2 Mac depan turut berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat.

"Melalui perarakan bertemakan hentikan genosid itu, kami menggalakkan peserta memakai pakaian berwarna putih, merah hitam, hijau iaitu warna bendera Palestin," katanya.