Pengarah syarikat sawit rugi lebih RM1juta ditipu

Suspek mendakwa tender pajakan ladang berkeluasan 485.6 dan 607 hektar di Melaka dan Ipoh, Perak itu akan dibuka pada 17 Julai sebelum ditutup pada 31 Oktober 2023. - Foto:123RF (Gambar kecil: Zainol)
Suspek mendakwa tender pajakan ladang berkeluasan 485.6 dan 607 hektar di Melaka dan Ipoh, Perak itu akan dibuka pada 17 Julai sebelum ditutup pada 31 Oktober 2023. - Foto:123RF (Gambar kecil: Zainol)
A
A
A

MELAKA - Seorang pengarah syarikat lelaki berputih mata apabila kerugian lebih RM1juta ditipu pemandu lori yang mendakwa mampu memberikan tender pajak ladang kelapa sawit.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, mangsa berusia 68 tahun itu telah dihubungi suspek berusia 39 tahun yang dikenali sebagai Neliar' pada Jun tahun lalu dengan menawarkan tender pajak ladang terbabit.

Menurutnya, suspek mendakwa tender pajakan ladang berkeluasan 485.6 dan 607 hektar di Melaka dan Ipoh, Perak itu akan dibuka pada 17 Julai sebelum ditutup pada 31 Oktober 2023.

Katanya, setelah berbincang, mangsa bersetuju untuk menyertai pelaburan terbabit dan diminta untuk membuat bayaran deposit wang berjumlah RM15,000 serta dijanjikan akan menerima sijil menang tender.

"Pengadu telah membuat 45 kali bayaran secara berperingkat ke dalam enam akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhannya RM1,029,000 dalam tempoh 17 Julai 2023 hingga 2 Januari lalu.

"Pengadu kemudian dimaklumkan telah berjaya masuk dan memenangi tender terbabit serta akan diberikan sijil tender," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Bagaimanapun, Zainol berkata, sehingga kini mangsa yang merupakan pengarah syarikat berkaitan produk sawit tidak menerima sebarang sijil seperti mana yang dijanjikan dan berasa telah tertipu dalam urusan terbabit.

"Pengadu membuat laporan polis di Balai Polis Alor Gajah pada 19 Januari lalu sebelum suspek berjaya ditahan di Kampar, Selangor pada 9 Februari lalu.

Artikel Berkaitan:

"Suspek akan dituduh di Mahkamah Seksyen Alor Gajah di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan pada Jumaat," katanya.