20 agensi penguat kuasa diperhatikan

Dr Mahathir ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Perdana Putra hari ini. Turut kelihatan, Abu Kassim (kiri).
Foto: Bernama
Dr Mahathir ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Perdana Putra hari ini. Turut kelihatan, Abu Kassim (kiri). Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan akan menubuhkan satu Jawatankuasa Aduan (JKA) bagi memantau pengendalian aduan kes-kes salah laku membabitkan 20 agensi penguat kuasa.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penubuhan JKA dibuat berikutan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) dinaik taraf kepada Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang menyiasat kes salah laku membabitkan anggota polis.

"Kerajaan mengambil maklum isu berbangkit berkaitan pemantauan ke atas 20 agensi penguat kuasa.

"Sehubungan itu, mesyuarat secara prinsip bersetuju dengan cadangan daripada SIAP bagi mengkaji keperluan menubuhkan JKA bagi memastikan penguat kuasa dapat dilaksanakan seiring dengan pemantauan polis," katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa tersebut akan ditubuhkan secepat mungkin dan dikendalikan satu agensi kerajaan yang akan ditentukan kemudian.

Difahamkan, terdapat 68,986 penjawat awam dari 20 agensi penguat kuasa yang akan diletakkan di bawah jawatankuasa pemantauan ini.

"Kita akan putuskan siapa yang berada dalam jawatankuasa tersebut," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) siri 11 di sini hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Artikel Berkaitan:

Pada Julai lalu, Rang Undang-undang (RUU) IPCMC 2019 dibentangkan di Dewan Rakyat bagi menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) agar integriti dan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipertingkatkan.

IPCMC akan bertindak sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, sebanyak 182 kertas kerja berkaitan cadangan dan isu governans, integriti dan anti-rasuah dibentangkan dan dimaklumkan dalam mesyuarat JKKMAR.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 47 cadangan dan usul selesai dan diambil tindakan," katanya.

Sebanyak 22 daripada 115 inisiatif di dalam Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 telah selesai dilaksanakan termasuk pengisytiharan harta oleh anggota pentadbiran, manakala 93 inisiatif pula masih dalam tindakan.