Sumbangan tiga mesin padi bantu ringankan kos petani SBBA

Tiga mesin padi sumbangan PNB mampu meningkatkan keuntungan kepada peserta SBBA.
Tiga mesin padi sumbangan PNB mampu meningkatkan keuntungan kepada peserta SBBA.
A
A
A

YAN - Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyumbangkan tiga unit mesin padi bernilai RM414,000 kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

Pemberian jentera itu dijangka dapat meringankan beban kos tanaman padi kepada petani yang menyertai Smart Sawah Berskala Besar (SBBA) di Batu 17, Yan, di sini.

Ketua Pengurusan Syariah PNB, Dr Ahmad Basri Ibrahim berkata, sumbangan disalurkan menerusi zakat pihaknya diharap dapat membantu memberi keuntungan kepada peserta di saat kos operasi yang meningkat.

"Saya difahamkan sebelum ini mesin disewa LZNK. Bila sudah ada mesin padi ini, mereka akan dapat mengurangkan kos operasi dan boleh dikendalikan oleh asnaf yang menjadi peserta SBBA di sini," katanya pada sidang akhbar di Batu 17, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan tersebut kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bahagian Operasi, Dr Mohd Faisal Mustaffa.

Ahmad Basri berkata, selain sumbangan tanggungjawab sosial korport kepada LZNK, perkara sama turut dilakukan kepada negeri lain melalui kerjasama agensi dan yayasan berkaitan.

"Sebagai contoh di Kelantan, kita bagi sumbangan untuk golongan orang kurang upaya (oku) bagi ternakan ayam. Selain itu sumbangan lain juga ada seperti bantuan kepada mangsa banjir dan mangsa covid," ujarnya.

Sementara itu, Mohd Faisal berkata, sumbangan tiga jentera itu diyakini mampu membantu meningkatkan lagi pendapat peserta SBBA melibatkan keluasan 201 hektar.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kos sewa sebuah mesin bagi keluasan satu relung (0.288 hektar) adalah RM110 tapi dengan inisiatif sumbangan PNB ini, LZNK dan peserta dapat menjimatkan kos berkenaan.

"Sawah ini diusahakan peserta Smart SBBA sendiri daripada proses pembenihan, penanaman, bajak hingga proses akhir.

"Melalui program ini, peserta dianggarkan memperoleh pendapatan RM1,800 hingga RM2,800 sebulan," katanya.

Selain itu, katanya, peserta turut menjalankan aktiviti pertanian dan penternakan ikan puyu, itik sebagai pendapatan tambahan.