Kenaikan harga lantai belian padi suntik semangat petani

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

ALOR SETAR - Kenaikan harga lantai belian padi kepada RM1,300 daripada RM1,200 per tan metrik yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 menyuntik semangat golongan petani untuk meningkatkan pengeluaran padi.

Bagi petani dari Alor Setar, Mohd Farid Ahmad, 35, walaupun kenaikan itu tidak begitu besar, namun ia sedikit sebanyak membantu petani menampung kos penanaman padi yang semakin meningkat.

"Memang naik tak banyak sangat daripada RM1,200 per tan kepada RM1,300 per tan tapi sekurang-kurangnya ada peningkatan bermakna ada lebih sikit pendapatan.

"Tapi jika dapat dinaikkan kepada RM1,500 per tan, saya rasa lebih baik dan mungkin akan lebih melegakan petani yang terpaksa menghadapi kenaikan pelbagai kos operasi," katanya yang mengusahakan kira-kira dua hektar sawah di Simpang Empat, di sini.

Kenaikan itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, 13 Oktober lepas, bertujuan membantu meningkatkan pendapatan pesawah.

Sementara itu, seorang lagi petani Abu Bakar Kasim, 57, meminta kerajaan untuk melakukan bancian dan mengkaji semula kenaikan kos-kos yang dihadapi petani selain memperkenalkan inisiatif baharu untuk menambah pendapatan mereka.

"Apa yang diumumkan kerajaan sangatlah dihargai, ditambah kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) kepada RM500 per tan (daripada RM350 per tan) sebelum ini juga dapat membantu meringankan kos operasi dan menyuntik semangat kami, tapi kalau ada inisiatif lagi kita sangat berterima kasih kepada kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah) Abdul Rashid Yob berkata kenaikan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per tan metrik memang melegakan petani, namun pihaknya berharap ada tambahan kenaikan diumumkan kerajaan nanti. - Bernama

Artikel Berkaitan: