PM mahu kutipan zakat dimanfaat agar miskin tegar dinoktahkan

Anwar (tengah) bersama Zambry (kiri) dan Mohamad Abdul Hamid ketika hadir pada Persidangan Antarabangsa Zakat Pulau Pinang di USM pada Jumaat. - Foto Bernama
Anwar (tengah) bersama Zambry (kiri) dan Mohamad Abdul Hamid ketika hadir pada Persidangan Antarabangsa Zakat Pulau Pinang di USM pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kutipan zakat di semua negeri dimanfaatkan sepenuhnya agar miskin tegar dapat dinoktahkan.

Beliau berkata, zakat tidak harus dilihat seperti institusi biasa kerana ia bukan sahaja berkait rapat dengan soal pendapatan negara malah satu institusi yang dikaitkan dengan kemiskinan.

Menurutnya, zakat juga merupakan institusi terlalu penting dalam membina kekuatan ummah.

"Zakat tidak harus dilihat seperti intsitusi biasa sebab itu, adalah sangat kejam bagi yang menguruskan zakat dengan cuai serta khianat kerana institusi ini terlalu begitu penting dalam membina kekuatan umat. Keengganan membayar zakat juga akan melemah dan melonglaikan sistem zakat itu sendiri.

"Saya tidak boleh terima kenyataan negeri-negeri (yang) boleh kumpul dana yang besar tetapi masih ada rakyat dalam kelompok miskin tegar.

"Saya ambil alih (negara) tahun lalu, di Wilayah Persekutuan, bagi lah teori apa pun, penjelasan apa pun, selagi ada rakyat di Kuala Lumpur yang masuk kategori miskin tegar selain daripada langkah-langkah lain daripada kerajaan, saya nak zakat itu dimanfaatkan sepenuhnya," katanya ketika berucap di Persidangan Antarabangsa Zakat Pulau Pinang 2024 di Universiti Sains Malaysia di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Mohamad Abd Hamid dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

Dalam pada itu, Anwar berkata, pengurusan zakat juga berkait rapat dengan tatakelola kerana dengan tatakelola yang baik, zakat dapat diuruskan dengan baik.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimana ada yang boleh meremehkan soal tatakelola kerana zakat itu sendiri tegak kerana tatakelola yang baik. Tatakelola ini berkait dengan Islam dan ia mampu kendalikan ekonomi Islan itu sendiri.

"Saya tidak boleh bertolak ansur dengan penyalahgunaan kuasa menggunakan kedudukan untuk kayakan diri sendiri dan keluarga. Saya aneh apabila memikirkan ada yang mengganggap ia (penyalahgunaan) tidak penting.

"Sebab itu, setiap sen yang digunakan wang yang dikutip atas nama zakat itu mesti dipertangungjawabkan, apa pun alasan untuk rakyat, pelaburan daya cipta dan teknologi atau semua perlu dalam negara Madani ini, ia (zakat) perlu selesaikan masalah asas iaitu membasmi kemiskinan tegar rakyat," katanya.

Beliau menambah, kutipan zakat yang banyak tidak mampu untuk menyelesaikan masalah besar sekiranya tidak diurus dengan baik.

"Negara yang kaya dengan kutipan zakat puluhan bilion ringgit sekali pun, tidak mungkin berhasil menyelenggara dan menyelesaikan masalah besar kalau tidak diuruskan dengan baik.

"Pengurusan zakat harus mengambil teladan daripada tokoh-tokoh Islam, khususnya Khalifah Umar Aziz yang menguruskan zakat dengan cemerlang di wilayah Arab," katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, melalui laporan yang diterimanya, empat negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan Kuala Lumpur telah hampir 100 peratus menyelesaikan masalah kemiskinan tegar di negeri masing-masing.

"Setakat ini yang berhasil 100 peratus (membasmi miskin tegar) adalah empat negeri ini.

"Saya masih belum dapat laporan terperinci dari Pulau Pinang sepatutnya Pulau Pinang jumlah miskin tegar itu jauh lebih kecil, saya beri Timbalan Ketua Menteri tempoh seminggu untuk beri laporan," katanya.

Selain pembasmian kemiskinan, Anwar juga meminta pengurusan zakat bagi mengambil langkah-langkah memperkasakan golongan kurang berkemampuan untuk bersaing dan merebut peluang dalam sistem meritokrasi.