MBKT lelong dua lembu jantan, lapan kambing tidak dituntut

Antara kambing yang akan dilelong oleh MBKT di pusat tahanan haiwan kawasan Perindustrian Chendering pada Isnin depan. Foto MBKT
Antara kambing yang akan dilelong oleh MBKT di pusat tahanan haiwan kawasan Perindustrian Chendering pada Isnin depan. Foto MBKT
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan melelong dua ekor lembu jantan dan lapan ekor kambing yang tidak dituntut selepas disita dalam operasi dijalankan pada akhir bulan lalu.

Datuk Bandar, Rosli Latif berkata, proses lelongan itu akan diadakan di pusat tahanan haiwan kawasan Perindustrian Chendering, di sini bermula sekitar jam 9.30 pagi pada Isnin depan.

Menurutnya, haiwan berkenaan ditangkap selepas didapati berkeliaran dan terpaksa dilelong selepas tiada pemilik yang datang untuk menuntut kembali ternakannya dalam tempoh ditetapkan.

"Pihak MBKT boleh mengadakan lelongan awam untuk melupuskan ternakan berkeliaran ini di bawah peraturan ditetapkan.

"Lelongan haiwan ternakan ini dilakukan mengikut Perkara 6 (3), Undang-undang kecil Haiwan Merayau, Akta Kerajaan Tempatan 1976," katanya ketika dihubungi di sini, pada Rabu.

Dua ekor lembu jantan yang tidak dituntut pemilik selepas disita juga akan dilelong di pusat tahanan haiwan kawasan Perindustrian Chendering pada Isnin depan. Foto MBKT
Dua ekor lembu jantan yang tidak dituntut pemilik selepas disita juga akan dilelong di pusat tahanan haiwan kawasan Perindustrian Chendering pada Isnin depan. Foto MBKT

Menurut Rosli, harga permulaan lelongan yang ditawarkan kepada pembida antara RM192 sehingga RM490 seekor.

Katanya, setiap pembida boleh mendapatkan seekor sahaja ternakan dalam sesi lelongan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan lebih bertegas dalam isu itu bagi memastikan tiada haiwan yang berkeliaran dan mengganggu pengguna jalan raya sekali gus mengelak insiden tidak diingini.

"Kita akan ambil tindakan lebih tegas kepada pemilik yang membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran.

"Haiwan-haiwan ternakan yang berkeliaran ini secara tidak langsung boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya," katanya.