Permohonan penghakiman terus kes cukai Ku Nan didengar 24 Februari

Tengku Adnan
Tengku Adnan
A
A
A
KUALA LUMPUR - Permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mendapatkan penghakiman terus berhubung saman terhadap bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bagi menuntut cukai pendapatan RM57.17 juta didengar pada 24 Februari.

Penghakiman terus ialah mahkamah memutuskan sesuatu kes didengar melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi pada perbicaraan.

Peguam Datuk S. Satharuban mewakili Tengku Adnan berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azimah Omar juga menetapkan tarikh yang sama bagi mendengar permohonan anak guamnya untuk menggantung prosiding kes saman itu.

Satharuban berkata demikian selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Azimah yang turut dihadiri Peguam Kanan Hasil Al-Hummidallah Idrus dan Norhisham Ahmad mewakili LHDN.

Tengku Adnan yang juga bekas Setiausaha Agung UMNO memohon untuk menggantung prosiding kes itu sementara rayuannya terhadap penilaian semula taksiran cukai LHDN selesai.

Kerajaan Malaysia melalui LHDN memfailkan saman itu pada 24 Julai tahun lepas selepas mendakwa Tengku Adnan selaku defendan masih terhutang bagi cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2012 sehingga tahun taksiran 2017 seperti yang dinyatakan melalui Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Berdasarkan penyataan tuntutan, LHDN mendakwa oleh kerana Tengku Adnan gagal membayar jumlah cukai pendapatan itu dalam tempoh 30 harı dari tarikh penyampaian Notis Taksiran yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967 maka kenaikan cukai 10 peratus telah dikenakan.

Plaintif berkata defendan masih gagal menjelaskan keseluruhan cukai pendapatan bersama kenaikan 10 peratus yang masih terhutang itu dalam tempoh 60 hari, menjadikan kenaikan cukai sebanyak lima peratus lagi dikenakan terhadap defendan.

Ia mendakwa sehingga kini defendan masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang termasuk dengan kenaikan yang kesemuanya berjumlah RM57,167,069.35.
Artikel Berkaitan:


Jumlah itu ialah RM64,444.38 (2012); RM6,614,861.59 (2013); RM8,887,576.69 (2014); RM9,198,523.67 (2015); RM5,520,818.05 (2016); dan RM26,880,844.97 (2017).

Oleh itu, plaintif menuntut daripada defendan jumlah RM57,167,069.35, faedah atas jumlah RM57,167,069.35 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relief yang disifatkan sesuai oleh mahkamah. - Bernama