Cubaan seludup 1,060 murai ke Indonesia

Rosdi menunjukkan beberapa keping gambar dalam sidang media di Ibu Pejabat PGA hari ini ekoran kejayaan PGA Kuching menggagalkan cubaan menyeludup keluar sejumlah 1,060 ekor burung pelimang’ dan murai batu bernilai RM855,000 ke Indonesia. - Foto Bernama
Rosdi menunjukkan beberapa keping gambar dalam sidang media di Ibu Pejabat PGA hari ini ekoran kejayaan PGA Kuching menggagalkan cubaan menyeludup keluar sejumlah 1,060 ekor burung pelimang’ dan murai batu bernilai RM855,000 ke Indonesia. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Sepasukan Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan menyeludup keluar sejumlah 1,060 ekor burung pelimang dan murai batu yang dianggarkan bernilai RM855,000 melalui jalan tikus di Tebedu di sini semalam.

Pegawai Pemerintah, Superintendan Rosdi Inai berkata, dalam Op Bersepadu Khazanah di laluan rentas sempadan haram melalui jalan tikus menuju Indonesia di Tebedu pada jam 1 tengah hari, seorang wanita warga Indonesia berusia 39 tahun yang mengaku sebagai pemilik burung berkenaan telah ditahan.

“Turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun kerana cuba memberi suapan kepada pasukan operasi sebanyak RM7,000 sebagai balasan untuk tidak menahan wanita tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, seramai 11 pegawai dan anggota PGA bersama empat pegawai Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan empat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak terlibat dalam operasi itu.

Katanya, haiwan berkenaan ialah spesies yang dilindungi dan cuba diseludup ke negara jiran untuk dipasarkan kerana mempunyai permintaan dan harga yang tinggi di negara berkenaan.

Rosdi berkata, kes tersebut diserahkan kepada SFC untuk siasatan mengikut Seksyen 29 Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 dan penjara satu tahun jika disabitkan kesalahan.

“Bagi kesalahan cuba memberi suapan pula, kes diserahkan kepada pihak SPRM mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang boleh membawa hukuman denda minimum lima kali nilai suapan atau denda RM10,000 atau penjara sehingga 20 tahun jika bersalah,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: