Video luar biasa, tampil mesej tersendiri

Cara penyampaian cerita faktor utama pemenang video pendek HARA 2023 dipilih

Nurhayati (dua dari kiri) bersama pemenang Pertandingan Video Pendek HARA 2023 di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Selasa.
Nurhayati (dua dari kiri) bersama pemenang Pertandingan Video Pendek HARA 2023 di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Cara penyampaian cerita yang kreatif, unik dan menarik merupakan faktor utama yang diambil kira dalam pemilihan pemenang bagi pertandingan video pendek sempena Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) #RasuahBusters 2023 pada 1 hingga 28 Disember lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, pertandingan yang menghimpunkan lebih 70 penyertaan itu disifatkan sebagai luar biasa kerana setiap video mempunyai mesej tersendiri.

“Mereka bukan setakat menghasilkan video pendek antara satu hingga tiga minit sahaja tetapi kajian yang dibuat sebelum penghasilan video-video berkenaan juga penting.

“Dari segi penjurian, kita lihat 10 yang terbaik. Semuanya ada kategori tertentu dan cara penyampaian yang unik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Video HARA 2023 yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.

Sebelum ini, program HARA #RasuahBusters 2023 diadakan buat julung kalinya di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada 13 hingga 14 Disember lalu dengan menyediakan pelbagai pameran dan aktiviti khas.

Program itu dianjurkan bagi menyampaikan mesej antirasuah dan membentuk kesedaran dalam kalangan masyarakat terutama pelajar serta peniaga tempatan.

Tempat pertama dimenangi oleh guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Tajul Ariffin, Kuala Kangsar, Perak, Diana Bahari manakala tempat kedua dimenangi oleh mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Khairul Aizat Abdul Rahman.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, tempat ketiga pula dimenangi oleh mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muhammad Najmi Aiman Nordin.

Nurhayati berkata, video tempat pertama ciptaan Diana bersama pelajar-pelajarnya itu menampilkan sisi penceritaan menarik di mana perbuatan rasuah itu berlaku di peringkat sekolah.

“Ia boleh bermula jika tidak dikekang dan dihalang dari peringkat lebih bawah, ini adalah satu bentuk kreativiti yang diutarakan dengan begitu baik sebagai satu bentuk sempadan yang kita kena bina supaya tidak terus berlaku dalam kalangan masyarakat kita.

“Pemenang kedua pula contohnya melihat bagaimana mereka meneliti kejadian yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja kerana masing-masing mahukan lesen. Itu kita boleh kaitkan dengan video yang dibuat kerana keperluan dan belas kasihan yang akhirnya memakan diri,” jelasnya.

Pertandingan video tersebut merupakan satu lagi usaha #RasuahBusters bersama rakan gabungannya yang terdiri daripada Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Malaysia Association of Muslim Finance Professionals (MFP) dan Ajar Demokrasi.