Sukma 2024: Atlet Johor menang emas dapat ganjaran RM10,000
GANJARAN wang tunai berjumlah RM10,000 daripada kerajaan negeri menanti atlet Johor yang memenangi pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak, Ogos depan.
Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, jurulatih atlet berkenaan pula bakal menerima RM5,000 manakala bagi acara berpasukan, setiap pasukan akan menerima RM20,000 sebagai imbuhan.
"Imbuhan ini diharap dapat menyuntik semangat atlet untuk jadi juara dua kali berturut-turut (setelah muncul juara Sukma 2022).
"Cabaran kepada kita kerana ramai yang ingin cuba tangani status kita sebagai juara.
"Apa pun, kita sentiasa mengikuti perkembangan atlet dari semasa ke semasa dan selamat berjuang saya ucapkan," katanya.
Mohd Hairi berkata demikian pada sidang media Majlis Countdown Sukma Johor 'Sukma 2024: The Next Chapter' di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Arena Larkin, pada Selasa.
Pada majlis berkenaan, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut mengumumkan sasaran 60 hingga 70 pingat emas untuk dicapai kontinjen Johor dalam temasya itu nanti.
Untuk rekod, kontinjen Johor muncul juara keseluruhan Sukma Kuala Lumpur 2022 dengan meraih 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa.
Sementara itu, Mohd Hairi berkata, pihaknya tidak mengumumkan ganjaran bagi pingat perak dan gangsa kerana mahu kesemua atlet bersemangat menjelang Sukma 2024.
"Kalau kita umumkan ganjaran perak dan gangsa, takut atlet berpuas hati catat perak, gangsa sahaja, jadi kita tetapkan sasaran untuk pingat emas dengan ganjaran lumayan untuk buatkan mereka lebih bersemangat," katanya.