IGMR 2023 tawar wang tunai RM31,000, cabutan bertuah lebih RM120,000

Hishamuddin (tengah) ketika majlis pra pelancaran IGMR 2023 pada Rabu.
Hishamuddin (tengah) ketika majlis pra pelancaran IGMR 2023 pada Rabu.
A
A
A

KEJOHANAN berbasikal, International Golden Monsoon Ride (IGMR) 2023 menyasarkan lebih 1,000 peminat sukan basikal tempatan dan antarabangsa pada musim monsun ini.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim berkata, acara berkenaan selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai 'Negeri Kayuhan Basikal' atau 'The Land of Cylist'.

Selain itu katanya, ia juga menjadi suatu faktor tarikan pelancong dalam mahupun luar negara untuk datang menerokai dan merasai keunikan yang ditawarkan di Terengganu.

"Kejohanan berbasikal IGMR sebelum ini jelas dapat memberikan pelbagai impak yang baik sekali gus merancakkan pertumbuhan sektor ekonomi dan pelancongan tempatan.

"Rantaian pertumbuhan sebegini lah yang ingin saya lihat agar dapat diraih melalui penganjuran IGMR 2023 ini," katanya ketika berucap pada Majlis Pra Pelancaran IGMR 2023 di Kuala Terengganu City Centre (KTCC), di sini pada Khamis.

Acara sukan berbasikal itu merupakan anjuran Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) dengan kerjasama beberapa agensi lain termasuk Syarikat pegangan pelaburan kerajaan negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc).

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, acara itu diadakan di Teluk Kalong, Kemaman pada 16 Disember depan menawarkan 12 kategori pertandingan sejauh 40 kilometer kepada peserta dalam dan luar negara dari pelbagai tahap kemahiran dengan jumlah hadiah wang tunai sebanyak RM31,000.

Katanya, kategori tersebut ialah Men Elite Open; Men Open; Men Junior; Master A; Master B; Master C; Women Open; Women Master; Heavy Weight; Fat Bike Open; E-Bike Open dan Gravel Bike Open.

Artikel Berkaitan:

"Kayuhan 'On-Road Fun Ride Open' dengan penampilan istimewa atlet-atlet Terengganu Polygon Cyling Team (TSG)," ujarnya.

Sementara itu, Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, penganjuran kejohanan berbasikal tersebut menjanjikan pengalaman berbasikal penuh aksi dalam suasana musim monsun ini.

Menurutnya, peserta bagi semua kategori akan menempuhi laluan menerusi beberapa destinasi pelancongan dan trek 'off-road' mencabar di Kijal dan Kemasik.

"Selain hadiah wang tunai, acara pada tahun ini turut menawarkan pelbagai hadiah cabutan bertuah cukup lumayan bernilai lebih RM120,000.

"Hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah kereta Perodua Myvi dijangka menjadi tumpuan dan rebutan peserta," katanya.