Kes Ebit Lew: Pengadu sebak ketika beri keterangan di mahkamah

Ebit Lew (kanan) ketika hadir di Mahkamah Tenom.
Ebit Lew (kanan) ketika hadir di Mahkamah Tenom.
A
A
A

TENOM - Hantaran di laman sosial mengenai sesiapa yang pernah terkena gangguan seksual pendakwah terkenal didakwa membuatkan pengadu kes Ebit Lew membuat keputusan untuk tampil memberitahu perkara dialaminya.

Saksi pendakwaan kesembilan yang merupakan seorang wanita berkata, hantaran itu dilihatnya di Facebook pada 26 Julai 2021.

"Saya ternampak hantaran di Facebook mengenai sesiapa yang pernah kena gangguan seksual dan boleh berhubung dengan nombor diberikan.

"Selepas baca mengenainya, saya dan suami ambil keputusan untuk menghubungi nombor berkenaan.

"Saya beritahu pernah dapat gangguan seksual daripada seorang pendakwah terkenal. Orang yang kami WhatsApp itu ialah Fairuz.

"Pada mulanya (dia) tidak mempercayai kerana kami tidak menunjukkan bukti, selepas itu saya berikan satu gambar dan dua tangkap layar teks WhatsApp barulah mereka percaya," katanya ketika memberi keterangan di Mahkamah Tenom di sini pada Selasa.

Ketika memberikan keterangan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, pengadu sempat menyeka air mata yang menunjukkan bahawa dia sebak dengan keadaan itu.

Dakwanya lagi, teks yang diberikan itu hampir serupa dengan teks WhatsApp yang mereka ada daripada mangsa-mangsa lain.

Artikel Berkaitan:

"Masa itu, saya minta daripada Fairuz contoh teks mereka dapat daripada mangsa lain.

"Saya dapati teks dan ayat yang digunakan sama dengan yang dia WhatsApp kepada saya selama ini iaitu meminta gambar seksi dan gambar diberikan pada saya, dia berikan juga kepada mangsa lain iaitu gambar kemaluan," katanya.

Katanya lagi, dia mengambil keputusan untuk membuat laporan d Bukit Aman selepas hasil perbincangan dengan suami disebabkan Ebit Lew mempunyai nama yang 'besar'.

Sementara itu, merujuk kepada keterangan awal, Nor Azizah meminta pengadu menjelaskan apa yang dimaksudkannya Ebit Lew mempunyai watak yang lain.

Pengadu memaklumkan bahawa dia menganggap Ebit Lew seorang yang baik sesuai dengan perwatakannya namun tidak menyangka selepas berhubung melalui WhatsApp pendakwah tersebut didakwa meminta gambar tidak senonoh.

Ditanya lanjut, adakah pengadu mempunyai masalah keluarga, dia memaklumkan kepada mahkamah bahawa tiada masalah yang besar.

Pengadu juga diminta menjelaskan kepada mahkamah, gangguan seksual dialaminya daripada Ebit Lew.

"Dia memberikan gambar kemaluan yang bagi saya sangat tidak senonoh. Selain itu kata-kata yang dia tulis di WhatsApp sangat keterlaluan. Bagi saya perkara itu menganggu saya sebagai perempuan," katanya.

Pengadu turut memaklumkan antara teks yang diterimanya daripada pendakwah tersebut adalah membabitkan perkataan berunsur lucah.