Pilpres Indonesia: Negara jiran memerhati, tempias bakal dirasai

Plihan Raya Presiden Indonesia atau lebih dikenali sebagai Pilpres pada tahun 2024 menandakan satu lagi babak penting dalam episod peralihan kuasa negara kepulauan tersebut.(Gambar hiasan) Foto AFP
Plihan Raya Presiden Indonesia atau lebih dikenali sebagai Pilpres pada tahun 2024 menandakan satu lagi babak penting dalam episod peralihan kuasa negara kepulauan tersebut.(Gambar hiasan) Foto AFP
A
A
A

KETIBAAN tahun 2024 menyerlahkan ujian demokrasi berbentuk pilihan raya umum yang akan diadakan di beberapa seluruh dunia bermula dari negara kecil seperti Kepulauan Solomon sehinggalah negara-negara besar seperti Indonesia dan Amerika Syarikat.

Bagi dekad ini, pilihan raya bukan sahaja menjadi penanda aras kepada tahap kematangan demokrasi, namun juga menjadi kayu ukur kepada kestabilan ekonomi dan pembangunan bagi sesebuah negara.

Bagi Indonesia, Plihan Raya Presiden Indonesia atau lebih dikenali sebagai Pilpres pada tahun 2024 menandakan satu lagi babak penting dalam episod peralihan kuasa negara kepulauan tersebut.

Dalam pilihan raya bertarikh 14 Februari ini, rakyat negara keempat terbesar di dunia ini menghadapi tugas berat untuk memilih pemimpin yang akan membawa negara mereka ke arah pembangunan, kestabilan, dan kemakmuran.

Dengan lebih 200 juta orang pengundi di seluruh pelusuk negara, pengurusan pilihan raya di Indonesia sangat mencabar berikutan faktor geografi negara tersebut yang berbentuk kepulauan dan memerlukan tahap persediaan logistik yang sangat tinggi.

Sebanyak 800,000 tempat pengundian dijangka akan dibuka di lebih 6.000 pulau di dalam negara ini.

Keputusan pilihan raya Indonesia yang lalu pada tahun 2019 menyaksikan lebih 80 peratus pengundi memilih semula Joko Widodo sebagai Presiden Indonesia.

Beliau dikatakan telah melakukan percubaan untuk bertanding kali ketiga memandangkan tempoh had seseorang individu dibenarkan menjadi Presiden Indonesia adalah dua penggal sahaja.

Artikel Berkaitan:

Namun, usaha beliau gagal memandangkan ia tidak mendapat sokongan dari partinya iaitu Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang dipimpin oleh Megawati Sukarnoputri.

Calon-calon

Calon-calon yang mencuba nasib kali ini adalah Prabowo Subianto, Ganjar Pranowo, dan Anies Baswedan.

Setiap calon presiden ini digandingkan dengan calon wakil presiden (Naib Presiden) masing-masing iaitu Prabowo bersama Gibran Rakabuming Raka, Ganjar bersama Mahfud MD, dan Anies bersama Muhaimin Iskandar.

Prabowo Subianto yang juga merupakan Menteri Pertahanan Indonesia telah membuat kejutan dengan mengumumkan anak sulung penyandang Presiden Indonesia, Joko Widodo iaitu Gibran Rakabuming Raka menjadi pasangan beliau bagi calon wakil presiden dalam pilihan raya tersebut.

Sebelum ini, Gibran merupakan Datuk Bandar kepada Surakarta iaitu tempat sama menjadi tapak pertama Jokowi menjadi ahli politik dengan memegang jawatan yang sama.

Gandingan ini menampilkan manifesto untuk menghapuskan kemiskinan tegar dalam masa dua tahun di samping meneruskan rancangan pemindahan ibu negara ke Kalimantan yang digagaskan oleh Jokowi.

Bagi Prabowo, beliau mendapat sokongan yang begitu kuat dan kukuh daripada partinya iaitu Parti Gerindra untuk bertanding bagi kali ketiga.

Selain itu, sokongan signifikan juga diberikan oleh Parti Golkar, yang sememangnya sebuah parti politik yang berpengaruh sejak sekian lama di Indonesia.

Prabowo juga mendapat sokongan daripada Parti Amanat Nasional (PAN) dan Parti Demokrat.

Situasi ini menunjukkan terdapat empat buah parti dominan yang menyatakan sokongan kepada Prabowo.

Parti Demokrat yang merupakan parti dipimpin oleh bekas Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono mengalih sokongan kepada kem Prabowo dari kem Anies berikutan keengganan Anies untuk melantik Agus Harimurti Yudhoyono iaitu anak Susilo sebagai calon wakil presiden.

Penyokong calon presiden, Gibran Rakabuming Raka atau anak sulung Jokowi ketika berkumpul di Gelora Deltra Sidoarjo, Jawa Timur semasa kempen Pilpres. - Foto AFP
Penyokong calon presiden, Gibran Rakabuming Raka atau anak sulung Jokowi ketika berkumpul di Gelora Deltra Sidoarjo, Jawa Timur semasa kempen Pilpres. - Foto AFP



Selain itu, gandingan Prabowo-Gibran mendapat dokongan penuh dari Jokowi berikutan penyertaan Gibran iaitu anak sulungnya dalam persaingan ini.

Bahkan, gandingan ini mudah menempa populariti berikutan dengan status dan latar belakang kedua-dua calon ini termasuklah sokongan kuat Jokowi yang masih berkuasa walaupun kemenangan Jokowi sebelum ini adalah hasil sokongan penuh Parti PDI-P.

Dipercayai sokongan Jokowi ini merupakan salah satu petanda bahawa beliau cuba mengekalkan pengaruhnya dalam pentadbiran akan datang walaupun tidak bergelar Presiden lagi.

Sehingga kini, Prabowo dan Gibran Rakabuming mengekalkan kedudukan teratas dalam perlumbaan pemilihan presiden dengan memperoleh sokongan 50.7 peratus, berdasarkan tinjauan terbaru.

Di pihak Ganjar Pranowo, ironinya, beliau mendapat sokongan daripada Parti Demokratik Indonesia –Perjuangan, PDI-P yang popular yang menyokong kepimpinan cemerlang Presiden Jokowi sebelum ini.

Sokongan ini sangat signifikan kepada Ganjar kerana majoriti rakyat Indonesia melihat Jokowi sebagai pencetus pembaharuan pembangunan kepada Indonesia walaupun Jokowi tidak lagi bersama dengan parti ini bagi menyokong gandingan yang menampilkan anaknya sebagai Wakil Presiden.

Ganjar merupakan bekas Gabenor Jawa Tengah selama dua penggal mempunyai persamaan latar belakang marhaen seperti Joko Widodo.

Merupakan anak kepada anggota polis dan usahawan, beliau lebih dikenali sebagai calon yang berada di luar lingkungan kumpulan elit dan ketenteraan yang selama ini membayangi pemerintahan negara tersebut sejak sekian lama.

Dalam manifestonya, beliau menjanjikan 17 juta pekerjaan baharu, kewujudan lebih banyak program kebajikan sosial dan akses kepada pendidikan tinggi yang lebih besar.

Selain itu, Parti Persatuan Pembangunan, PPP juga memberikan sokongan kepada Ganjar Pranowo sebagai calon Presiden 2024 yang mengukuhkan lagi sokongan kepada Ganjar.

Beliau sebelum ini membina reputasi di Jawa Tengah dengan melaksanakan polisi kebajikan seperti pemotongan caj faedah terhadap pinjaman mikro, bantuan baja kepada para petani, dan potongan pendapatan wajib oleh penjawat awam sebanyak 2.5 peratus untuk tujuan sumbangan pendidikan dan kesihatan di wilayah itu.

Beliau memilih Mahfud yang merupakan bekas Menteri Penyelaras Politik, Undang-Undang dan Keselamatan dalam Kabinet Jokowi sebagai gandingannya kali ini.

Sehingga kini, gandingan Ganjar Pranowo-Mahfud Md memperoleh 19.7 peratus dalam bancian terkini dan meletakkan mereka sebagai gandingan yang ketiga.

Di pihak Anies Baswedan pula, Parti Nasdem yang diwakilinya telah meletakkan kepercayaan kepada Anies untuk menjadi calon Presiden.

Anies juga mendapat sokongan yang signifikan daripada Parti PKS dan Parti Kebangkitan Bangsa (PKB).

Anies adalah merupakan bekas Gabenor Jakarta dari 2017 hingga 2022 dan mempunyai latar belakang sebagai ahli akademik Islam dan bekas menteri.

Beliau sejak sekian lama telah mendapat penghormatan dari kalangan tokoh-tokoh intelektual di Indonesia berikutan inisiatifnya menganjur pelbagai program intelektual bertaraf antarabangsa semasa menjadi Gabenor Jakarta.

Beliau juga dipuji atas kejayaannya dalam melakukan inisiatif tindakan respon yang cepat terhadap pandemik Covid-19 dan memperbaiki sistem perkhidmatan dan pengangkutan di Jakarta dalam tempoh perkhidmatannya selama lima tahun.

Bagi merebut kerusi Presiden, beliau telah memilih Muhaimin Iskandar yang merupakan Presiden Kebangkitan Bangsa (PKB). Muhamin Iskandar atau dikenali sebagai Cak Imin merupakan bekas ahli Nahdatul Ulama (NU), iaitu organisasi dakwah yang mempunyai puluhan juta ahli di segenap pelusuk Indonesia.

Penganalisis berkata, latar belakang Anies dan Muhaimin sebagai agamawan mampu mempengaruhi ahli NU untuk mengundi mereka pada Pilpres kali ini sebagaimana NU telah didakwa membantu untuk kemenangan Jokowi-Ma’ruf Amin pada tahun 2019.

Anies telah menjanjikan dalam manifestonya untuk melaksanakan kesaksamaan dalam ekonomi, keutamaan dalam diplomasi ekonomi antarabangsa dan akan menghentikan usaha pemindahan ibu negara ke Kalimantan atas alasan ia menelan perbelanjaan yang sangat tinggi.

Dalam satu siri debat yang disertainya, beliau dengan agresifnya menyatakan tiada keperluan ibu negara dipindahkan ke tempat baharu.

Sehingga kini, gandingan Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar telah mendapat bancian sebanyak 22 peratus mengikut kajian terbaharu iaitu menduduki tempat kedua selepas gandingan Prabowo dan Gibran.

Penganalisis menjangkakan bahawa tiada calon akan mendapat 50 peratus dan pusingan kedua bagi pilihan raya ini tidak dapat dielakkan.

Bahkan, sudah wujud ramalan bahawa kem Anies Baswedan akan bergabung dengan Ganjar pada pusingan kedua bagi menentang Prabowo yang dilihat sudah tidak tidak relevan untuk menjadi Presiden Indonesia yang baharu.

Bahkan, kelayakan Gibran juga masih dipertikai sebagai calon wakil presiden berikutan pengecualian yang diperolehinya oleh Mahkamah Perlembagaan walaupun dengan jelas had umur bertanding haruslah berusia 40 tahun dan ke atas.

Dengan usia Gibran yang baru menginjak 37 tahun dan wujudnya fakta bahawa salah seorang hakim yang terlibat dalam membuat keputusan pengecualian adalah merupakan seorang ipar kepada Jokowi, tidak mengejutkan umum bahawa kredibiliti gandingan ini terus dipertikaikan.

Debat Umum

Dalam memilih Presiden Indonesia, rakyat Indonesia secara umumnya akan menyaksikan siri-siri perdebatan umum di media perdana yang disertai oleh calon-calon Presiden.

Pelbagai isu akan didebatkan dalam sesi perdebatan ini seperti ekonomi dan kos sara hidup rakyat, membanteras rasuah atau korupsi, kelangsungan kehidupan anak muda, kestabilan kerajaan dan kepemimpinan, termasuk pembangunan dan kesejahteraan Indonesia - merujuk kepada isu pengangguran dan inflasi.

Namun, berdasarkan hasil bancian, didapati bahawa pengundi lebih tertarik kepada personaliti dan pengalaman calon tersebut.

Pengundi lebih berminat untuk mengetahui tahap kemampuan seseorang calon itu dalam memimpin negara berbanding dasar dan polisi yang dibawa oleh calon tersebut.

Mengikut penganalisis, berdasarkan pengamatan mereka dalam salah satu siri debat, Anies dan Ganjar dilihat menguasai pentas debat apabila beliau berjaya mengutarakan hujah-hujahnya lebih baik dari Prabowo yang dilihat agak beremosi dan kelihatan gagal menjawab soalan yang diajukan kepada mereka.

Bahkan, Prabowo cuba meletakkan kelemahan semasa beliau menjawat Menteri Pertahanan kepada Kementerian Kewangan kerana gagal memperolehi aset ketenteraan yang baharu.

Pusingan Kedua

Dengan tinggal berbaki beberapa hari sahaja, ketiga-tiga gandingan calon ini harus berusaha untuk mendapat majoriti 50 peratus undi bagi mengelakkan diadakan pusingan kedua.

Jika tiada calon mendapat undian sebanyak 50 peratus, pusingan kedua akan dianjurkan.

Pusingan kedua ini dijangka menjadi pusingan akhir dan penentu kepada pilihan raya ini.

Yang pasti, negara-negara jiran akan memerhati dengan penuh minat terhadap pilihanraya ini kerana tempias dari politik negara besar dan berpengaruh seperti Indonesia sudah pasti memberi pengaruh kepada negara jiran dalam banyak aspek.

*Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib