Op Selamat 21: 17 maut pada hari kelima

Mohd Azman
Mohd Azman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 1,261 kes kemalangan direkodkan di seluruh negara pada Isnin iaitu hari kelima Op Selamat 21 Tahun Baharu Cina.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 15 kes kemalangan maut dengan 17 kematian dilaporkan.

"Sebanyak 1,558 buah kenderaan terlibat dalam kemalangan jalan raya," katanya kepada Sinar Harian, pada Selasa.

Mohd Azman berkata, perbandingan statistik Op Selamat 19 bagi hari kelima tahun lalu menunjukkan kes kemalangan jalan raya menurun sebanyak 381 kes daripada 1,642 kes.

"Manakala kes kemalangan maut meningkat sebanyak tujuh kes daripada lapan kes sebelum ini.

"Kematian akibat kemalangan jalan raya juga meningkat sebanyak sembilan orang berbanding hanya lapan orang pada Op Selamat 19," katanya.

Beliau berkata, jumlah kenderaan yang terlibat kemalangan menunjukkan penurunan sebanyak 444 buah kenderaan daripada 2,002 buah kenderaan yang direkodkan pada Op Selamat 19.

"Semua pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa peka, berhati-hati dan fokus kepada pemanduan terutama penunggang motosikal.

Artikel Berkaitan:

"Sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan mematuhi arahan serta bekerjasama dengan petugas JSPT di lapangan. Jangan memandu melebihi had kelajuan yang telah ditetapkan," katanya.

Op Selamat 21 dilaksanakan di seluruh negara bermula Khamis hingga 13 Februari ini sempena Tahun Baharu Cina.

Pada Rabu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Op Selamat bagi edisi kali ini masih mengekalkan tema 'Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi', dengan mengangkat dua objektif utama iaitu meminimumkan kemalangan jalan raya serta memastikan kelancaran trafik dan mencegah jenayah pecah rumah sepanjang musim perayaan.

JSPT juga turut dibantu oleh Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM dalam menjalankan pemantauan udara di tiga zon utama iaitu zon Utara, Selatan dan Timur.

Selain itu, bagi mencegah jenayah pecah rumah pula, seluruh jentera PDRM di peringkat kontinjen digerakkan untuk rondaan pencegahan jenayah, risikan, operasi dan pemantauan secara berjadual di kawasan perumahan serta premis perniagaan terutamanya yang memaklumkan ketiadaan mereka kepada pihak polis.