Penduduk bimbang rumah musnah dibadai ombak

Keadaan hakisan pantai dan ombak besar yang semakin menghampiri rumah Nur Zakiah di Kampung Jawa. - Foto: Nur Zakiah
Keadaan hakisan pantai dan ombak besar yang semakin menghampiri rumah Nur Zakiah di Kampung Jawa. - Foto: Nur Zakiah
A
A
A

ROMPIN - Beberapa keluarga di Kampung Jawa dekat sini hidup dalam keresahan apabila dihantui hakisan pantai dan ombak kuat sehingga boleh memusnahkan kediaman mereka yang terletak di pesisir pantai Rompin.

Nur Zakiah Hamdan, 28, berkata, kebimbangan memuncak setiap kali air pasang besar menyebabkan percikan ombak hampir memasuki kediamannya.

Menurutnya, terdapat sembilan rumah di kawasan berhampiran dengan pesisir pantai terbabit tetapi hanya beberapa rumah berdekatan dengan ancaman tersebut.

"Kalau ikutkan jarak rumah saya dan dua lagi (rumah jiran) ke pantai anggaran 15 meter. Jadi, setiap kali ombak besar kami akan terkesan berbanding rumah yang berada di kawasan jauh," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Suri rumah itu memaklumkan meskipun rumah yang dihuni lebih 16 tahun tidak musnah, namun turut mengalami beberapa kerosakan pada struktur seperti tingkap, zink dan pintu akibat terkena wap air masin selain kenderaan miliknya turut rosak akibat diletakkan di hadapan rumah.

"Saya (alami) kerugian hampir RM3,000 termasuk pintu rumah yang tercabut akibat hentakan ombak.

"Melihat keadaan sekarang ini, tidak mustahil dalam masa tiga tahun lagi rumah saya juga akan lenyap dan ditelan ombak jika tiada sebarang tindakan daripada mana-mana pihak berkaitan untuk selesaikan masalah ini," luahnya yang mengakui hakisan pantai ini lebih teruk berbanding tahun lalu sehingga menyebabkan jalan rosak.

Nur Zakiah berharap kerajaan negeri dan pusat dapat membantu menyelesaikan masalah yang membelenggu penduduk sejak sekian lama.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, meminta pihak berkaitan lebih teliti dengan keselamatan penduduk yang tinggal di pinggiran pantai terutamanya pada musim tengkujuh.

"Kalau boleh percepatkan pembinaan benteng di kawasan perumahan PPRT (Program Perumahan Rakyat Termiskin) Sungai Lumpur. Jangan hanya sekadar lawatan," katanya.