Mayat warga Nepal ditemui terdampar di Pantai Sepat

Pasukan penyelamat membantu mengangkat mayat mangsa sebelum dibawa ke HTAA untuk proses bedah siasat
Pasukan penyelamat membantu mengangkat mayat mangsa sebelum dibawa ke HTAA untuk proses bedah siasat
A
A
A

KUANTAN - Mayat lelaki warga Nepal yang dikhuatiri lemas di pantai Teluk Tongkang di sini Isnin lalu ditemui terdampar di Pantai Sepat pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mayat Ganesh Rana, 22, ditemui orang awam kira-kira jam 8.30 pagi.

Menurutnya, jarak lokasi mayat mangsa ditemui kira-kira 15 kilometer dari tempat dia dilaporkan lemas.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang Isnin lalu, mangsa dipercayai terjatuh ketika sedang membuat panggilan video bersama kakaknya.

Mayat mangsa diangkat ke atas kenderaan polis untuk dibawa ke HTAA untuk proses bedah siasat.
Mayat mangsa diangkat ke atas kenderaan polis untuk dibawa ke HTAA untuk proses bedah siasat.

"Mangsa dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam air dan terus tenggelam.

"Rakan-rakan mangsa cuba untuk selamatkan mangsa namun gagal ekoran arus agak kuat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mangsa yang bekerja di sebuah kilang air di Jaya Gading di sini dipercayai datang ke lokasi itu bersama tiga rakan untuk bercuti sempena cuti Tahun Baharu Cina.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Kuantan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan siasatan awal kejadian.

"Operasi SAR dijalankan bersama Pasukan Bomba dan Penyelamat Kuantan dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuantan," katanya.