'Tak perlu jadikan kampung Cina tapak warisan UNESCO’ - Tok Mat

Mohamad ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina MCA di ibu negara pada Sabtu. Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID
Mohamad ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina MCA di ibu negara pada Sabtu. Foto MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO berpendirian tidak ada keperluan untuk mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, malahan untuk mengiktiraf sesuatu kawasan sebagai tapak warisan UNESCO bukanlah mudah.

“Ia (cadangan) itu perlu perundingan, perlu dibawa ke Kabinet dan jika perlu pindaan mesti dibawa ke Parlimen untuk dibahas dan diluluskan.

“Namun, UMNO merasakan tidak ada keperluan untuk menjadikan Kampung Baru Cina ini sebagai satu tapak warisan UNESCO,” katanya.

Menteri Luar itu berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina MCA yang diadakan di Wisma MCA di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Media sebelum ini melaporkan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bercadang untuk mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah penempatan itu.

Bagaimanapun, cadangan tersebut menimbulkan kontroversi apabila dibantah ramai pihak termasuk UMNO.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada Jumaat dilaporkan berkata, walaupun menjadikan kampung Cina sebagai tapak UNESCO adalah untuk memperkasakan sektor pelancongan negara tetapi UMNO berpandangan implikasi terhadap cadangan itu terlalu besar dan menyentuh kedudukan Melayu-Bumiputera secara tidak langsung.

Namun, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat yakin, pendirian UMNO dalam isu berkenaan tidak akan merenggangkan hubungan antara parti tersebut dan DAP.

“Saya kira isu ini tidak akan menjejaskan hubungan kerana UMNO hanya menyatakan pendirian.

“Jadi sebagai rakan dalam parti kita mesti saling menghormati pandangan rakan-rakan lain,” ujarnya.