PM nafi isu Pusat Keamanan punca Maszlee letak jawatan

Dr Mahathir ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Perdana Putra hari ini. -Foto Bernama
Dr Mahathir ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Perdana Putra hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan laporan sebuah portal berita bahawa cadangan pembukaan semula Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman antara sebab Dr Maszlee Malik melepaskan jawatan Menteri Pendidikan.

Menurutnya, terdapat banyak sebab peletakan jawatan oleh Maszlee.

"Tidak (berkaitan dengan pusat keamanan). Terdapat banyak sebab dan bukan semuanya salah," katanya.

Katanya, ada sebahagian tindakan dan keputusan yang dibuat Maszlee betul.

"Tetapi ada beberapa sebab yang saya fikir dia mesti letak jawatan dan dia setuju.

"Jadi beliau pun meletakkan jawatan," katanya yang turut menyifatkan penyebaran surat berkaitan peletakan jawatan Maszlee adalah perbuatan tidak bertanggungjawab.

Ketikanya ditanya mengenai pengganti kekosongan jawatan itu, Dr Mahathir berkata, beliau akan menentukannya.

"Akan ditentukan oleh saya kerana itu adalah prerogatif saya," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) siri 11 kali pertama tahun ini, di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, portal berkenaan melaporkan sumber mendedahkan cubaan membuka semula pusat “anti-terorisme” yang disokong Arab Saudi dan ditutup oleh kerajaan punca kata dua Dr Mahathir kepada Maszlee.

Maszlee mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan pada 2 Januari berkuat kuasa pada 3 Januari lalu.

Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam dilantik sebagai menteri pada Mei 2018.