'Peta Marang, Palestin ada persamaan' - Ahmad Fadhli

Ahmad Fadhli ketika berucap sempena Majlis Perasmian Minggu Al-Quds Sedunia Peringkat Malaysia 2024.
Ahmad Fadhli ketika berucap sempena Majlis Perasmian Minggu Al-Quds Sedunia Peringkat Malaysia 2024.
A
A
A

MARANG - Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari merakam kesyukuran kerana Majlis Perasmian Minggu Al-Quds Sedunia Peringkat Malaysia 2024 dapat diadakan di Dewan Tok Guru, Rusila dekat sini pada malam Sabtu.

Ia kerana beliau berpandangan lokasi program itu bersesuaian kerana wujud persamaan antara bentuk peta kawasan Parlimen Marang dan negara Palestin.

"Kita bersyukur kerana program ini dapat adakan di bumi Marang, istimewanya Parlimen Marang ini jika dilihat dari lakaran petanya, seumpama dengan peta bumi Palestin.

"Alhamdulillah, adakah ia satu kebetulan, atau merupakan satu 'isyarat' supaya tuan-tuan yang merupakan penduduk Terengganu dan masyarakat Marang harus pertahankan sebagaimana rakyat Palestin mempertahankan bumi Gaza," katanya ketika berucap pada program itu.

Sebahagian daripada ratusan yang hadir sempena Majlis Perasmian Minggu Al-Quds Sedunia Peringkat Malaysia 2024 di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang.
Sebahagian daripada ratusan yang hadir sempena Majlis Perasmian Minggu Al-Quds Sedunia Peringkat Malaysia 2024 di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang.

Hadir sama, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang; Presiden Persatuan Nahdah Ulama Yaman-Turkiye, Dr Abdullah Abdul Hamid Majid Zindani; CEO Towerbridge Consultancy & Training - UK dan Persatuan Ma’ali Algeria, Datuk Ahmad Amir Ali serta Ahli Kesatuan Ulama Palestin Malaysia, Dr Ridhwan Al Atrash.

Ahmad Fadhli dalam ucapannya turut menyuarakan harapan agar Malaysia dapat mengambil iktibar dari peristiwa yang berlaku di bumi para anbia' (nabi-nabi) itu.

"Sejarah Palestin perlu dijadikan iktibar oleh umat Islam di Malaysia agar ia tidak berulang di bumi Malaysia. Sejak 100 tahun yang lepas, yang mendiami bumi Palestin dan mencipta tamadun di sana ialah umat Islam.

Artikel Berkaitan:

"Orang-orang Yahudi datang selepas penjajahan Deklarasi Balfour pada 1917, mereka cuba ambil alih negara itu sedikit demi sedikit. Mereka berjaya membentuk negara haram Israel selepas British memenangi Perang Dunia Pertama.

"Hari ini selepas 100 tahun lampau kita tidak melihat lagi kekuatan umat Islam di Palestin sebagaimana yang pernah berlaku sebelum tempoh tersebut.

"Kita merupakan sebahagian sejarah dari bumi Palestin dan kita doakan kita dapat lihat Baitulmuqaddis kembali ke tangan umat Islam suatu masa nanti,"ujarnya.

Ahmad Fadhli (dua dari kiri) bersama Abdul Hadi (duduk) ketika menghadiri Majlis Perasmian Minggu Al-Quds Sedunia Peringkat Malaysia 2024 di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang.
Ahmad Fadhli (dua dari kiri) bersama Abdul Hadi (duduk) ketika menghadiri Majlis Perasmian Minggu Al-Quds Sedunia Peringkat Malaysia 2024 di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli turut menyentuh berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Katanya, isu itu tidak boleh dipandang sepi dan perlu kepada tindakan serta usaha dari seluruh umat Islam tanpa mengira perbezaan fahaman parti politik.

"Kini setelah sekian lama undang-undang syariah diamalkan di negara kita, kita juga berdepan dengan detik yang sukar apabila ada pihak yang mencabar undang-undang tersebut.

"Justeru, dalam hal ini seluruh umat Islam perlu bersatu untuk menggerakkan seluruh kekuatan. Ahli-Ahli Parlimen tidak kira dari parti mana perlu berusaha untuk memastikan perlembagaan dipinda bagi membolehkan kuasa yang lebih diberikan kepada Mahkamah Syariah, " ujarnya.