'Wajar himpunan solidariti Palestin dilakukan bersama' - Ahmad Fadhli

Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari akui terbuka dengan cadangan sekiranya himpunan aman solidariti bagi rakyat Palestin diadakan bersama dengan anjuran Pemuda Perpaduan di Masjid Negara, pada Jumaat.

Beliau berkata, setakat ini belum ada sebarang perbincangan melibatkan perkara tersebut, namun PN kekal dengan pengumuman asal iaitu mengadakan himpunan aman berkenaan selepas solat Jumaat.

“Secara peribadi, saya berpandangan wajar dilakukan bersama dengan (himpunan) solidariti yang juga akan dianjurkan oleh Pemuda Perpaduan seperti dilaporkan media.

“Cuma masih tiada perbincangan setakat ini, saya tidak menolak kemungkinan akan ada perbincangan bagi menyelaraskan himpunan esok nanti demi Palestin.

“PN masih kekal dgn pengumuman asal pada Isnin lepas iaitu himpunan aman esok di Masjid Negara selepas solat Jumaat,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin dilaporkan berkata, lebih daripada 123,000 rakyat Palestin di Gaza hilang tempat tinggal dengan kira-kira 74,000 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

Ia susulan serangan udara tentera Zionis Israel bertindak balas terhadap serangan pejuang Hamas pada Sabtu.

Beberapa pihak termasuk parti politik dijangka mengadakan himpunan aman bersoladariti bersama rakyat Palestin di Masjid Negara pada Jumaat ini.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden memaklumkan seramai 5,000 peserta dijangka menyertai Himpunan Aman Solidariti Mempertahankan Bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa yang akan diadakan di Masjid Negara pada Jumaat ini.

Pada Khamis, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang juga anggota Pemuda Perpaduan itu mengajak seluruh rakyat Malaysia menyertai Himpunan Solidariti Bersama Gaza bagi menyatakan sokongan dan solidariti terhadap Palestin.

Pemuda Perpaduan merupakan gabungan yang dianggotai oleh Dr Muhamad Akmal, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim; Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Dr Kelvin Yii Lee Wuen dan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Senator Mohd Hasbie Muda.