Kes pemerasan RM35,000: Dua anggota polis dibebaskan dengan jaminan polis

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kecil: M Kumar
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kecil: M Kumar
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Dua anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam yang ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan kes pemerasan membabitkan wang tunai RM35,000 dibebaskan dengan jaminan polis pada Ahad.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, kertas siasatan kes terbabit akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya selepas siasatan dilengkapkan.

"Kedua-dua anggota polis yang berusia 29 dan 37 tahun dari Bahagian Narkotik IPD Seri Alam itu tidak disambung reman sementara polis melengkapkan siasatan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Pada Sabtu, dua lagi anggota polis dari Bahagian Narkotik IPD Seri Alam ditahan dan direman pada Jumaat bagi membantu siasatan kes pemerasan membabitkan wang tunai RM35,000.

Bagaimanapun, Kumar dilaporkan berkata, seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan tujuh anggota dari IPD Seri Alam yang direman sejak Rabu lalu sudah dibebaskan dengan jaminan polis pada Jumaat.

Rabu lalu, seorang pegawai kanan polis berpangkat inspektor dan tujuh pegawai rendah dari IPD Seri Alam, ditahan bagi membantu siasatan kes pemerasan melibatkan seorang tukang cuci wanita.

M Kumar berkata, kesemua individu berusia antara 20 hingga 50 tahun itu ditahan susulan laporan yang diterima pada 9.32 malam, Isnin lepas.

Pada jam 9.32 malam Isnin lalu, Polis Johor menerima laporan berkaitan kes dakwaan pemerasan membabitkan wang tunai berjumlah RM35,000 oleh pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Seri Alam.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, tular satu laporan yang dipercayai berhubung tangkapan kesemua pegawai polis itu di aplikasi Telegram.

Laporan itu menyatakan seorang tukang cuci wanita mendakwa seorang anggota polis telah meminta wang sebanyak RM40,000 bagi membebaskan adiknya yang ditahan berkaitan kes dadah.

Wanita berkenaan mendakwa hadir di IPD Sri Alam untuk menyerahkan wang berjumlah RM35,000 sebelum membuat laporan polis selepas mendapati adiknya masih tidak dibebaskan.