Majlis Ulama UMNO bermuzakarah, perkasa undang-undang syariah

Kenyataan media Majlis Ulama UMNO pada Jumaat berhubung keputusan petisyen Nik Elin.
Kenyataan media Majlis Ulama UMNO pada Jumaat berhubung keputusan petisyen Nik Elin.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Ulama UMNO akan bersidang dan bermuzakarah pada Khamis depan bagi membincangkan tentang usaha memperkasakan undang-undang syariah seterusnya menyampaikan cadangan kepada Kerajaan Persekutuan untuk tindakan lanjut.

Majlis Ulama UMNO berkata, dua tokoh akademik undang-undang Islam akan dijemput pada muzakarah itu untuk membentangkan kertas kerja sebagai panduan kepada pihaknya.

“Hari ini Mahkamah Persekutuan memutuskan 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (I) Kelantan terbatal yang turut boleh memberi kesan kepada enakmen kesalahan syariah di negeri-negeri lain termasuk Wilayah Persekutuan.

“Alasannya ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak mempunyai kuasa menggubal enakmen yang bercanggah dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, isunya ialah tentang bidang kuasa yang ada pada negeri untuk menggubal enakmen pada perkara yang tersenarai sebagai bidang kuasa Persekutuan. Ia adalah pertembungan bidang kuasa Negeri dan Persekutuan sebagaimana peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada Jumaat mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel sembilan hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar 18 peruntukan enakmen tersebut.

Mengulas lanjut, Majlis Ulama UMNO menegaskan, sangat pentingnya untuk undang-undang syariah termasuk kesalahan jenayah syariah sentiasa diperkasakan dalam negara sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia sebagaimana usaha yang telah dibuat oleh kerajaan negeri dan Persekutuan yang ditadbir oleh UMNO sebelum ini.

“UMNO sentiasa memperkasakan syariah dengan memperkenalkan, menggubal dan meminda enakmen-enakmen kesalahan syariah dan Wilayah Persekutuan pada era 1980-an serta menyelaraskannya di semua negeri-negeri,” ujarnya.