JPJ tubuh pasukan khas tangani kenderaan lebih muatan

Lokman turun padang dalam Op Tahun Baharu Cina 2023 di Plaza Tol Kemuning, Shah Alam pada Jumaat.
Lokman turun padang dalam Op Tahun Baharu Cina 2023 di Plaza Tol Kemuning, Shah Alam pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menubuhkan satu pasukan khas bagi mengendalikan kes kenderaan berat melebihi had muatan di negara ini.

Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, pasukan terbabit ditubuhkan sejak enam bulan lalu susulan kenderaan melebihi muatan ini menjadi satu masalah besar dan penyumbang kepada kemalangan jalan raya.

Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut sebanyak 60 sitaan dibuat ke atas kenderaan berat yang melebihi 70 peratus daripada jumlah muatan dibenarkan.

"Tindakan pendakwaan di mahkamah telah dibuat dan dalam proses untuk mendapatkan perintah lucut hak,” katanya kepada pemberita semasa Ops Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Kemuning di sini pada Jumaat.

Turut hadir Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan dan Timbalannya, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat.

Mengulas lanjut, Lokman berkata, pasukan itu akan melaksanakan operasi khas kenderaan berat yang melebihi had muatan fasa dua selepas perayaan Tahun Baharu Cina nanti.

“Pelaksanaan operasi itu akan diteruskan secara konsisten dalam usaha memastikan semua pihak mematuhi peraturan had muatan dibenarkan dan pada masa sama, kami mahu tindakan diambil terhadap pihak yang masih berdegil dan enggan mematuhi peraturan berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, bagi tempoh 1 Februari hingga Khamis (semalam), sebanyak 243,257 pelbagai kenderaan telah diperiksa dengan 57,110 notis telah dikeluarkan merangkumi pelbagai kesalahan lalu lintas.

Artikel Berkaitan:

Lokman berkata, daripada jumlah itu, 378 kenderaan pengangkutan telah dikenakan notis saman dan 14 disita, manakala bagi kenderaan perdagangan pula dengan pengeluaran 5,995 saman dan penyitaan sebanyak 199 kenderaan.

"Saman dikeluarkan kebanyakan kesalahan teknikal melibatkan 30 peratus atau 3,798 kes diikuti tiada lesen vokasional (1,765), Lesen Memandu Kompeten (1,536), lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh (1,542), tiada insurans (825), muatan bahaya (567) dan lebih muatan (353).

"Semua ini adalah sangat serius dan merupakan kesalahan yang besar dan tidak boleh dimaafkan," tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, operasi yang berlangsung sehingga 29 Februari ini juga bertujuan mengesan mana-mana pemandu dan kenderaan yang mempunyai saman tertunggak.