Akauntan rugi RM5.04 juta ditipu pelaburan kripto

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Akibat mahu untung berlipat ganda dalam masa singkat, seorang akauntan sebuah syarikat swasta rugi RM5.04 juta akibat terpedaya penipuan pelaburan mata wang kripto awal bulan ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa telah berkenalan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai William menerusi aplikasi WhatsApp pada Ogos 2023.

"Suspek kemudiannya menawarkan mangsa menyertai suatu pelaburan yang dikenali sebagai pelaburan Crpytocurrency dengan menawarkan keuntungan berlipat kali ganda dalam tempoh singkat.

"Mangsa berminat dengan pelaburan tersebut dan bersetuju untuk melabur.

"Mangsa yang tidak mahir dengan pelaburan Crpytocurrency telah diberi tunjuk ajar oleh suspek untuk mendaftar dan memindahkan wang ke dalam akaun e-Wallet jenis luno, synergy dan bybit yang diiktiraf oleh Bank Negara, " katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, mangsa diarahkan pula memindahkan wang kripto tersebut ke dalam beberapa akaun e-Wallet lain yang diberikan oleh suspek bagi tujuan pelaburan.

"Secara keseluruhan, mangsa telah melakukan 143 kali pindahan wang dari akaun e-Wallet mangsa ke beberapa akaun e-Wallet lain sehingga berjumlah RM5.04 juta.

"Suspek mengarahkan mangsa bertindak sendiri memantau pergerakan wang dan keuntungan pelaburan melalui e-Wallet Atomic yang diberikan oleh suspek," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, mangsa dapat melihat keuntungan pelaburan beliau sehingga mencecah RM7 juta.

"Bagaimanapun apabila mangsa hendak mengambilnya, suspek memberikan berbagai alasan malah meminta mangsa membayar pelbagai bayaran lain bagi urusan pengambilan keuntungan tersebut.

"Mangsa tersedar ditipu seterusnya membuat laporan polis awal Februari lalu di Ampang Jaya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.