Cadangan Kg Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO cetus kontroversi

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

BARU-baru ini, cadangan untuk menjadikan Kampung (Kg) Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah menimbulkan kontroversi daripada pelbagai pihak.

Cadangan itu disuarakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming untuk mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah perkampungan tersebut yang diasaskan sejak 76 tahun lalu.

Beliau berkata, perkara berkenaan akan dibincangkan lebih terperinci dengan kerajaan Selangor.

Bagaimanapun, ia telah mencetuskan perdebatan umum yang rata-rata tidak bersetuju dengan tindakan itu termasuk beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Pada Khamis, Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Datuk Mohd Foad Mat Isa berkata, tindakan itu dilihat menyentuh isu perkauman dan cuba memanipulasi fakta sejarah serta memberi kesan negatif terhadap pembangunan negeri berkenaan pada masa akan datang.

Sementara itu, Gabungan Pertubuhan NGO Melayu-Islam (Nasionalis) mendesak kerajaan memecat Kor Ming kerana telah mencetuskan perpecahan kaum dan memberi kesan terhadap kedudukan orang Melayu.

Susulan itu, Kor Ming menegaskan bahawa perkara tersebut masih dalam peringkat cadangan dan tidak seharusnya dijadikan isu perkauman.

Ujar beliau, kerajaan terbuka menerima cadangan dari pelbagai pihak untuk mencalonkan kampung Melayu atau mana-mana tempat berpotensi dan bersejarah sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Suara Anak Watan turut melancarkan petisyen bagi membantah cadangan itu secara dalam talian sejak Rabu.

Sehingga Khamis jam 5.30 petang, petisyen itu telah mencapai 16,986 orang berbanding 1 juta yang disasarkan pihaknya.

Ini jelas menunjukkan bahawa cadangan berkenaan telah mendapat tentangan hebat terutamanya daripada masyarakat di negeri tersebut.

Justeru itu, kerajaan perlu mempertimbangkan perkara ini lebih-lebih lagi status Kg tersebut adalah kurang daripada 100 tahun untuk dijadikan Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Selain itu, diharapkan juga agar orang ramai lebih berhati-hati dalam melontarkan sebarang pandangan untuk mengelakkan berlakunya isu perkauman atau perkara yang menyentuh sensitiviti masyarakat.