Penguat kuasa KPDN Kelantan ditempatkan di tiga pintu sempadan

Azman (dua dari kanan) melihat harga halia yang dijual semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Azman (dua dari kanan) melihat harga halia yang dijual semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina.
A
A
A

BACHOK - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menempatkan anggota penguatkuasanya di tiga pintu keluar masuk sempadan di negeri ini bermula 1 Februari lalu.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, langkah diambil bertujuan mengekang jenayah penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi melibatkan laluan ‘halal’ di Rantau Panjang, Pasir Mas, Pengkalan Kubor, Tumpat dan Bukit Bunga, Tanah Merah.

Menurut beliau, seramai lebih 30 anggota terlibat dengan penugasan di lokasi terbabit mengikut syif bermula 7 pagi hingga 7 malam dan 7 pagi hingga 10 malam.

“Penguat kuasa berada statik di tiga pintu sempadan yang melibatkan paling ramai orang ramai keluar masuk antara Malaysia-Thailand di Kelantan.

“Sejak penempatan penguatkuasa tersebut, setakat ini belum ada kes penyeludupan direkodkan kerana secara logik keberadaan kami menyebabkan penyeludup ini tidak keluar melalui pintu-pintu ‘halal’ berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Sesi Jelajah Mesra bagi pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2024 di Jelawat, di sini pada Khamis.

Kata beliau, sebelum ini pernah direkodkan kes pembolosan penyeludupan di pintu sempadan di Bukit Bunga dan mengakui bentuk muka bumi sempadan negara di Kelantan antara cabaran kepada pihak penguatkuasanya.

Katanya, walau bagaimanapun, langkah menempatkan anggota di pintu-pintu ‘halal’ sangat efektif dan dapat membantu mengekang jenayah penyeludupan.

“Kelantan melibatkan 86 kilometer sempadan sungai daripada Pengkalan Kubor sampai ke Jeli.

Artikel Berkaitan:

“Ketika musim hujan sungai makin lebar namun apabila kemarau menyeberangi dengan jalan kaki sahaja, itu antara yang jadi cabaran kepada penguatkuasa,” ujarnya.

Azman mengulas, penepatan penguat kuasa terbabit akan berterusan sehingga agensi tunggal sempadan negara (SBA) ditubuhkan oleh kerajaan.

“Itu arahan yang kami terima dan sekarang ini kerajaan dalam usaha menubuhkan SBA di kesemua tujuh pintu sempadan seluruh negara.

“Ketika ini, penguatkuasa di pintu-pintu sempadan tersebut melakukan pemeriksaan barangan di dalam kenderaan di bawah bidang kuasa KPDN melibatkan barangan keperluan asas atau barangan kawalan dan bersubsidi seperti gula, minyak dan gandum,” katanya.