Pelajar pro Modi serang kampus universiti Jawalharlu Nehru

Aishe cedera selepas dahinya ditoreh senjata tajam dalam serangan tersebut. - Agensi
Aishe cedera selepas dahinya ditoreh senjata tajam dalam serangan tersebut. - Agensi
A
A
A

NEW DELHI - Sekurang-kurangnya 34 orang cedera selepas sekelompok besar penyerang bertopeng bersenjatakan tukul dan batang besi menyerbu kampus Universiti Jawaharlal Nehru (JNU) di ibu kota India, New Delhi semalam.

Serangan selama tiga jam itu turut menyebabkan beberapa pelajar dan pensyarah mengalami luka dan lebam serta terpaksa dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Mangsa cedera termasuk Ketua Kesatuan Pelajar JNU, Aishe Ghosh selepas dahinya ditoreh senjata tajam.

Selain itu, penyerang turut merosakkan bilik dan memecahkan cermin di kampus berkenaan.

Kesatuan Pelajar JNU menuduh serangan didalangi Akhil Bhrataiya Vidhyarthi Parishad (ABVP), kumpulan pelajar yang rapat dengan parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi.

Susulan insiden itu, Menteri Dalam Negeri, Amit Shah yang juga sekutu rapat Modi didesak meletak jawatan kerana jabatan polis Delhi di bawah kawalan pentadbirannya lewat bertindak bagi membendung keganasan tersebut.

Sementara itu, polis mengesahkan telah mengenal pasti beberapa dalang di sebalik serangan tersebut, namun tiada tangkapan dibuat setakat ini.

Kejadian itu adalah sebahagian daripada beberapa siri pertembungan yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 24 orang terbunuh berikutan tindakan kerajaan pimpinan Modi meluluskan undang-undang menawarkan kerakyatan kepada minoriti bukan Islam dari tiga negara jiran pada Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Ia disifatkan sebagai diskriminasi ke atas komuniti Islam dan sebahagian daripada agenda politik Modi bagi meningkatkan pengaruh partinya. - Agensi