Tahanan 'main' sorok, kejar dengan polis

Mohd Naim (kanan) memeriksa tujuh tahanan warga Rohingya yang berjaya diberkas di sebuah ladang sawit di Jalan Kanchu, Tapah pada Rabu.
Mohd Naim (kanan) memeriksa tujuh tahanan warga Rohingya yang berjaya diberkas di sebuah ladang sawit di Jalan Kanchu, Tapah pada Rabu.
A
A
A

TAPAH - Tujuh tahanan warga Rohingya yang meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor di sini sempat 'bermain' sorok dan kejar sebelum diberkas di sebuah ladang sawit di Jalan Kanchu di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Mohd Naim Asnawi berkata, tangkapan dilakukan sekitar jam 3 petang selepas mendapat maklumat sekumpulan lelaki bersembunyi di kawasan ladang berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Tapah.

"Sebaik terima maklumat, kita pun hantar sepasukan anggota ke sana.

"Kita dapati mereka ini bersembunyi di kebun dan cuba lari selepas menyedari kehadiran anggota.

"Berlaku sedikit adegan kejar-mengejar antara tahanan dengan polis sejauh 500 meter sebelum kesemua mereka berjaya diberkas," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata, tangkapan terbaru itu menjadikan 98 daripada keseluruhan 131 tahanan yang melarikan diri berjaya ditahan semula sejak operasi digerakkan 1 Februari lalu.

Pihaknya percaya, baki tahanan tidak dapat bergerak ke kawasan lebih jauh dan hanya berada di sekitar Tapah dan Bidor.

"Mereka tidak mempunyai apa-apa bekalan termasuk pakaian dan makanan jadi ini membuatkan mereka tidak akan pergi jauh.

Artikel Berkaitan:

"Sebaliknya tahanan ini akan menjadikan kawasan seperti R&R sebagai tempat mencari makanan," katanya.

Mohd Naim berkata, sepanjang tempoh seminggu operasi digerakkan, anggota terpaksa berdepan pelbagai cabaran dalam mengesan lokasi persembunyian tahanan.

Katanya, ini termasuklah faktor muka bumi yang berbukit-bukau, laluan yang hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda serta keadaan cuaca hujan.

"Kita perlukan kerjasama dan maklumat semua pihak untuk membantu operasi ini.

"Harap orang ramai terutama penduduk jangan jemu untuk terus menyalurkan maklumat," katanya.

Media melaporkan seramai 131 pendatang asing tanpa izin (PATI) melarikan diri dari blok lelaki depot itu dengan dua daripada mereka dilaporkan meninggal dunia dalam nahas jalan raya.

Jumlah itu menjadikan 31 tahanan lagi masih hilang setakat jam 5 petang.