Dakwaan Taib Mahmud 'diculik' tidak benar - KPN

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Razarudin
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Razarudin
A
A
A

PETALING JAYA - Dakwaan bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud ‘dilarikan’ tidak benar kerana keberadaan beliau diketahui ahli keluarga.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menerima beberapa laporan (kenyataan) dalam media sosial yang dikeluarkan ahli keluarga berkaitan penafian dakwaan Abdul Taib dilarikan.

“Laporan-laporan itu kita ambil dan kita siasat kerana ia bukannya daripada Pesuruhjaya Sarawak, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman atau saya sendiri.

“Bagaimanapun, dakwaan beliau diculik tidak masuk akal kerana keberadaan bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak itu di rumah. Ada anak, adik beradik, doktor dan jururawat,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Op Selamat 21 dan perasmian VSP 2.0 Tahun Baharu Cina di Persada Plus pada Rabu.

Sebelum itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata mengesahkan Abdul Taib berada dalam keadaan selamat selepas didakwa dibawa keluar dari sebuah hospital swasta kelmarin.

Menurutya, Abdul Taib kini berada di kediaman beliau di Kuching, Sarawak bersama isterinya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib.

Pada 6 Februari lalu, Mancha mengesahkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

Laporan polis yang didakwa dibuat oleh seorang doktor hospital swasta terbabit tular di media sosial pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Dalam laporan itu, pengadu mendakwa Abdul Taib telah dibawa keluar dari hospital berkenaan oleh ahli keluarganya, meskipun telah dinasihatkan oleh doktor agar beliau kekal menerima rawatan sewajarnya.

Taib, 87, berkhidmat selama tiga penggal sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak dari 1 Mac 2014 hingga 26 Januari lalu.