Penjawat awam pilih skim pencen kerana ganjaran, bonus tiap tahun

Abdul Rahman ketika siaran langsung Wacana Sinar Harian bertajuk ‘Pencen atau KWSP?’ di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. Foto Sinar Harian- ASRIL ASWANDI SHUKOR
Abdul Rahman ketika siaran langsung Wacana Sinar Harian bertajuk ‘Pencen atau KWSP?’ di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. Foto Sinar Harian- ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Penjawat awam di negara ini lebih memilih skim pencen berbanding caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana golongan berkenaan memperoleh manfaat dari segi ganjaran dan bonus setiap tahun.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Abdul Rahman Mohd Nordin berkata, penjawat awam berstatus tetap yang baharu dilantik dan mencarum KWSP tidak mendapat keistimewaan sama seperti kategori skim pencen ketika tamat perkhidmatan, sebaliknya hanya menerima wang caruman.

“Kakitangan kerajaan gaji tak tinggi sangat jadi pencen pun tak banyak dapat, paling tinggi RM1,000 ke RM2,000 (mengikut gred) itu yang membuatkan mereka nak memilih pencen.

“Kalau kakitangan tetap tapi tiada pencen dan ambil KWSP, carumannya tak banyak dan apabila bersara nanti tak dapat ‘gratuity’ (ganjaran), dia dapat caruman sahaja,” katanya ketika siaran langsung Wacana Sinar Harian bertajuk ‘Pencen atau KWSP?’ di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa.

Program dihoskan Ismail Adnan itu turut menampilkan Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi dan aktivis masyarakat, Liyana Marzuki.

Dari kiri: Ismail (hos) bersama Liyana, Abdul Rahman dan Hussain ketika siaran langsung Wacana Sinar Harian bertajuk ‘Pencen atau KWSP?’ di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. Foto Sinar Harian- ASRIL ASWANDI SHUKOR
Dari kiri: Ismail (hos) bersama Liyana, Abdul Rahman dan Hussain ketika siaran langsung Wacana Sinar Harian bertajuk ‘Pencen atau KWSP?’ di Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. Foto Sinar Harian- ASRIL ASWANDI SHUKOR

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 24 Januari lalu mengumumkan Kabinet bersetuju untuk menetapkan syarat bahawa penjawat awam baharu berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Jelasnya, status pencen penjawat awam sedia ada tidak akan terjejas, namun golongan yang baharu dilantik kelak perlu membuat caruman KWSP.

Artikel Berkaitan:

Ketika ditanya mengenai dapatan sesi libat urus antara kerajaan dan pemegang taruh termasuk Ceupacs berhubung perkara berkenaan, Abdul Rahman memaklumkan, beberapa cadangan sedang diperhalusi bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam konteks tata cara dan lain-lain.

Tambah beliau, pihaknya berhasrat untuk mencari kaedah bagi membincangkan isu berkenaan dengan golongan pakar sekiranya saranan menubuhkan suruhanjaya benar-benar direalisasikan.

"Pada saya, pencen patut dikekalkan dan dibincangkan bersama kerana ia di bawah Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan, nak buang tak boleh, tetapi ditambahbaik boleh.

"Jadi, kalau tidak diberi penghargaan kepada penjawat awam lebih-lebih gred rendah yang payah nak dapat pingat, pencenlah satu-satunya anugerah daripada kerajaaan untuk menghargai 'tulang belakang' kepada pentadbiran negara," ujar beliau lagi.