Beri gambaran salah guna kuasa mudah ditoleransi - Ideas

Tricia
Tricia
A
A
A

SHAH ALAM - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) mendakwa keputusan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak oleh Lembaga Pengampunan memberi gambaran bahawa penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana awam mudah ditoleransi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Tricia Yeoh berkata, orang ramai mungkin beranggapan bahawa keputusan itu dipengaruhi kepimpinan politik susulan penglibatan kedua-dua Menteri Wilayah Persekutuan dan Peguam Negara dalam menganggotai Lembaga Pengampunan.

“Dengan keanggotaan mereka, orang ramai mungkin menganggap bahawa penangguhan hukuman itu akan dipertimbangkan dengan persetujuan daripada kepimpinan politik semasa.

“Keputusan itu secara langsung bercanggah dengan komitmen Kerajaan Madani untuk menangani rasuah.

“Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercita-cita tinggi menetapkan sasaran untuk Malaysia mencapai kedudukan 25 negara teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International menjelang tahun 2033,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mengesahkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Tarikh tersebut adalah enam tahun lebih awal dari tempoh hukuman sepatutnya selain jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari lalu yang dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (Yang di-Pertuan Agong ketika itu).

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Tricia berkata, jenayah yang dilakukan bekas Presiden UMNO itu adalah berkaitan langsung dengan skandal rasuah terbesar dalam sejarah negara.

Menurutnya, pengurangan hukuman itu berkemungkinan akan membalikkan langkah positif yang dicapai negara pada CPI 2023, setelah Malaysia naik empat anak tangga ke kedudukan ke-57.

“Keputusan (pengampunan Najib) itu mempunyai akibat serius terhadap sebuah pentadbiran yang telah menyatakan secara terbuka hasrat untuk melaksanakan pembaharuan institusi.

“Hal ini akan segera menghakis kepercayaan orang ramai terhadap keupayaan kerajaan untuk menegakkan pendirian moralnya dalam apa jua perkara berkaitan dengan tadbir urus yang baik,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mendakwa, tindakan berkenaan juga akan memberi implikasi negatif terhadap persepsi komuniti perniagaan antarabangsa.

Justeru, Tricia berkata, Ideas menyeru pihak kerajaan untuk memberi penjelasan mengenai kedudukannya terhadap demokrasi dan tadbir urus yang baik.

“Sekiranya kerajaan masih berhasrat untuk serius memerangi rasuah maka kerajaan perlu menyatakan dengan jelas perancangan memperkukuhkan institusi menerusi Strategi Pencegahan Rasuah Kebangsaan baharu yang dijadualkan dilancarkan tidak lama lagi.

“Tindakan ini perlu supaya kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC) yang telah banyak menyusutkan sumber kewangan negara serta merosakkan reputasi antarabangsa dengan teruk, tidak akan berlaku lagi,” tegasnya.