'Laluan maut': JKR mohon peruntukan tambah lampu jalan

Laporan Sinar Harian 3 Februari lalu.
Laporan Sinar Harian 3 Februari lalu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Selangor memaklumkan terdapat keperluan untuk menambah aspek-aspek keselamatan di kilometer 53 Jalan Klang-Teluk Intan berikutan kekerapan kejadian kemalangan.

Juruteranya, Ir Nur Hafidzan Idris berkata, ia meliputi papan tanda amaran had laju, papan tanda kawasan kemalangan dan jalur rentas kuning.

"Infrastruktur keselamatan jalan raya di laluan itu bertujuan memberi ingatan kepada pemandu agar berhati-hati di kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Dalam pada itu, Nur Hafidzan berkata, pihaknya juga akan mengemukakan cadangan penambahan lampu jalan di jajaran tersebut membabitkan peruntukan kira-kira RM550,000.

Nur Hafidzan
Nur Hafidzan

Beliau memberitahu, kerja-kerja itu meliputi pemasangan 36 tiang lampu baharu di kiri dan kanan jalan di samping memohon peruntukan pembaikan 12 batang tiang lampu yang telah rosak.

"Pihak kami akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kerja Raya pada minggu ini," tambah beliau.

Selain itu, jelasnya, pihaknya turut melihat keperluan pemasangan penghadang jalan secara fizikal berdasarkan aspek keselamatan bagi memastikan ia sesuai dan tidak menjadi 'hazard' (elemen mendatangkan bahaya) kepada pengguna.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai kekerapan kemalangan di laluan tersebut, Nur Hafidzan berkata, JKR Daerah Kuala Selangor telah melaksanakan semakan di kawasan terjadinya kemalangan terbabit.

Ujar beliau, hasil pemerhatian awal mendapati keadaan jalan adalah lurus, tiada pothole (jalan berlubang), garisan median jalan tengah dalam keadaan baik dan terdapat lampu jalan di kiri jalan menghala ke Tanjong Karang.

"Pihak kami juga telah menerima salinan laporan kemalangan jalan raya dari pihak polis dan kemalangan yang berlaku bagi kedua-dua kejadian langgar hadapan kenderaan yang masuk ke laluan bertentangan.

"Sehubungan itu, JKR Daerah Kuala Selangor mendapati terdapat keperluan untuk menambah baik aspek keselamatan di laluan tersebut," tambah beliau.

Sinar Harian pada Sabtu lalu melaporkan, kerajaan digesa menyalurkan peruntukan bagi kerja-kerja baik pulih dan pemasangan lampu serta penghadang jalan di kilometer 53 Jalan Klang - Teluk Intan yang disifatkan 'laluan maut' berikutan kekerapan kemalangan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, laluan itu ibarat perangkap maut kepada pengguna jalan raya sekiranya dibiarkan berterusan.

Khamis lalu, seorang wanita maut selepas kenderaan dipandunya dirempuh sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger di laluan tersebut.

Kejadian di tempat sama turut mengorbankan seorang lelaki yang baharu sehari melangsungkan perkahwinannya selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan pada 17 Disember tahun lalu.

Turut terkorban, lelaki yang membantu mengeluarkan pengantin baharu terbabit yang cedera parah dan disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh dua hari selepas kejadian berkenaan.